KEPALA BATAS: Seramai 1,000 pelajar dari 21 buah sekolah di seluruh negeri ini menerima bantuan persekolahan yang disalurkan Yayasan Amal Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang menerusi peruntukan RM250,000 bagi sesi persekolahan 2023.
Menerusi inisiatif itu, yayasan tersebut menyediakan bantuan baucar RM250 kepada setiap murid dan pelajar daripada golongan B40 untuk menyediakan kelengkapan persekolahan.
Ketua Pengawai Eksekutifnya, Datuk Seri Rozali Mohamud berkata, bantuan yang disalurkan sebelum bermulanya cuti persekolahan itu bakal memudahkan ibu bapa untuk membuat persediaan anak-anak mereka.
Katanya, baucar terbabit boleh digunakan di mana-mana enam cawangan terpilih Mydin Wilayah Utara.
“Kita faham cuti sekolah nanti akan ada ibu bapa dan anak-anak pulang ke kampung dan mereka boleh membeli-belah menggunakan baucar ini dengan mudah sama ada di Pulau Pinang, Kedah dan Perak.
“Dua pasang uniform, kasut sekolah, stoking, beg, alat tulis dan peralatan persekolahan boleh diperolehi dengan percuma menerusi baucar ini.
“Ini adalah bantuan kali pertama yang disalurkan pihak yayasan buat tahun ini dan kita komited untuk meneruskan program seumpama ini bagi membantu meringankan beban golongan memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Educare Kembali Ke Sekolah di Mydin Bertam, di sini hari ini.
Sumbangan kepada penerima bantuan itu disempurnakan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan majlis itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Sementara itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bertam Perdana, Nabilshah Kamaluddin,16, bersyukur kerana berpeluang membeli-belah kelengkapan persekolahan baharu semasa cuti sekolah nanti.
“Terima kasih kepada pihak yayasan kerana memberi sumbangan kepada para pelajar dan membantu meringankan beban ibu bapa kami.
“Walaupun seronok kerana cuti sekolah bakal bermula, saya turut teruja untuk memulakan persekolahan Mac nanti,” katanya.
Bagi K. Ane Poorni,13, dia turut gembira kerana berpeluang menerima bantuan persekolahan buat kali pertama.
“Rasa seronok sebenarnya kerana ini pertama kali dapat bantuan.
“Dengan bantuan yang diterima, mudahlah untuk ibu bapa saya buat persediaan kerana hanya perlu tebus baucar ini bagi mendapatkan kelengkapan baharu persekolahan,” katanya. – UTUSAN