Zuhrah melintasi Zuhal malam Tahun Baharu Cina

Zuhrah melintasi Zuhal malam Tahun Baharu Cina

GAMBARAN situasi fenomena konjungsi dua planet apabila Zuhrah melintasi Zuhal pada senja hari ini. - FOTO MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Para peminat astronomi tempatan bakal berpeluang menyaksikan sendiri fenomena Zuhrah melintasi hampir dengan Zuhal menjelang awal senja pada malam ini.

Pentadbir laman sesawang Falak Online iaitu Shahrin Ahmad memberitahu, fenomena itu turut disebut saintis angkasa sebagai konjungsi disebabkan perspektif pemerhati dari bumi yang melihat dua objek cakerawala di langit seolah-olah dekat antara satu sama lain.

Padahal keadaan sebenarnya ujar beliau, keberadaan kedua-dua objek berkenaan adalah berjauhan di angkasa tetapi manusia di bumi pula akan nampak macam hampir berselisih.

Konjungsi Zuhrah dan Zuhal itu dapat dilihat dengan mata kasar sahaja dengan sudut dua planet ini kelihatan dari arah bumi sejauh 0.6 darjah di kawasan ufuk langit sebelah barat.

“Jangan lupa jenguk Zuhrah malah hari ini, Zuhal sudah makin hampir kurang tiga darjah daripada planet tersebut sebelum kedua-dua mereka berada amat dekat,” nukil beliau yang turut  disahkan Agensi Angkasa Malaysia (Mysa) dengan memaklumkan ia berlaku ketika fasa bulan baharu selepas pukul 4.53 petang.

Pada masa itu, bulan berada di kedudukan paling dekat dengan bumi iaitu jarak hanya 356,569 kilometer malah bagi umat Islam, pembentukan bulan berkenaan amat signifikan memberi isyarat takwim Hijrah 1444 bertukar kepada bulan Rejab atau memberi petanda ada 59 hari lagi sebelum Ramadan.

Mengulas lebih lanjut, Shahrin yang juga ahli panel jawatankuasa falak kerajaan Selangor berkata, fenomena alamiah lintasan tersebut akan berlaku pada jarak 37 arc minit dan boleh dilihat agak jelas di seluruh Malaysia selepas azan Maghrib pada hari ini.

Zuhrah atau dalam bahasa Inggeris disebut Venus, merupakan planet kedua dari matahari dan objek sejadi paling terang waktu malam selain bulan sehingga digelar Bintang Petang.

Zuhal atau dalam bahasa Inggeris disebut Saturn, yang terkenal dengan imej gelang, ialah planet keenam dari matahari dan kedua paling besar dalam Sistem Suria selepas Musytari.

Walau bagaimanapun, bagi mereka yang terlepas menyaksikan keindahan kejadian itu tidak perlu risau kerana selepas ini akan berlaku lagi konjungsi beberapa planet lain pula, antaranya Zuhrah akan melintasi Neptun pada 15 Februari depan diikuti Zuhrah melintasi Musytari (2 Mac), Zuhrah melintasi Uranus (30 Mac) dan Zuhrah melintasi Marikh (1 Julai). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya