PUTRAJAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyokong penuh kenyataan bantahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutuk tindakan membakar al-Quran oleh ahli politik Sweden, Rasmus Paludan kelmarin.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, pihaknya menyeru umat Islam negara ini agar bersatu menyokong bantahan ini dan sentiasa mendoakan kesejahteraan dan keamanan bersama.
Beliau berkata, selain mengadakan bantahan menerusi saluran diplomatik, ajaran agama ini yang sentiasa menyeru ke arah kebaikan mesti disebarkan bukan sahaja di dunia Islam semata-mata.
“Mesej ke arah belas kasihan, rahmah dan kasih sayang serta budi bahasa yang terdapat dan selalu ditegaskan dalam al-Quran mesti ditegakkan.
“Sebarang percubaan untuk mengundang kebenciaan dan keganasan atas alasan kebebasan dan hak asasi manusia tidak boleh dibenarkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, Paludan dan mereka yang berkongsi pandangan dengannya secara berterusan menyebar tindakan bersifat keganasan sejak April 2022.
Justeru, katanya, tidak hairan ia mengundang rasa marah dan kecewa rakyat Malaysia yang cintakan keamanan, khususnya warga yang beragama Islam.
Tuan Kamarul Arief berkata, rakyat negara ini juga percaya, sikap biadap Paludan ini tidak melambangkan budaya dan kepercayaan majoriti rakyat Sweden yang lain.
“Tindakan ini seharusnya dihentikan segera untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk,” katanya.- UTUSAN