MELAKA: Gelagat dan aksi seorang kanak-kanak bermain gasing warisan di pekarangan Kompleks Kraf Melaka, Ayer Keroh di sini menarik perhatian pengunjung serta pelancong yang bertandang ke lokasi berkenaan hujung minggu lalu.
Lengkap berbusana Melayu dan bertanjak, kelincahan Adam Tuah Rimy Azizi, 11, ketika membaling gasing dan mempamerkan pelbagai gaya jelas menunjukkan kanak-kanak itu amat menguasai permainan tradisional berkenaan, meskipun baru darjah lima.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Adam Tuah berkata, gasing yang dimainkannya itu adalah hasil tangan bapanya, Rimy Azizi Ab. Karim yang mempunyai sebuah bengkel menghasilkan pelbagai produk kraf di Bukit Rambai dekat sini.
Katanya, dia menguasai permainan gasing kerana telah didedahkan sejak kecil, lantas menimbulkan minat dalam dirinya untuk mendalami permainan tradisi warisan bangsa itu.
“Ada orang cakap gasing ini berbahaya, tetapi bagi saya setiap permainan boleh mendatangkan kecederaan kalau kita tidak mempunyai asas. Saya didedahkan dengan gasing sejak kecil oleh ayah, hari demi hari perasaan minat terhadap gasing itu kian kuat dalam diri.
“Ayah memang seorang pakar pembuat gasing warisan dan pelbagai produk kraf yang lain. Hari ini saya tampil berbusana ketika bermain, untuk menunjukkan kelainan dalam permainan ini, untuk menarik lebih ramai orang mengenali gasing,” katanya.
Rimy Azizi merupakan salah seorang pempamer yang membuka gerai pameran dan jualan sempena lawatan kerja Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing ke Kompleks Kraf Melaka.
Difahamkan, Rimy Azizi mempunyai kepakaran dan pengalaman hampir 30 tahun dalam penghasilan pelbagai jenis gasing antaranya gasing kanak-kanak dan gasing hiasan.
Dia juga pernah diiktiraf sebagai Ikon Negara Ku 2018 dan kini bergerak aktif di pelbagai platform dalam talian untuk memasarkan hasil seninya. – UTUSAN