ANALISIS
PENDUDUK Kelantan yang tinggal kawasan rendah dan sering ditenggelami air perlu kekal waspada dengan situasi semasa, kerana ‘edah’ banjir masih belum tamat sepenuhnya.
Kebiasaan Monsun Timur Laut (MTL) yang membawa tiupan angin kencang dan taburan hujan lebat sehingga berlakunya banjir itu biasanya bermula November dan dijangka berakhir pada Mac setiap tahun.
Perubahan iklim tidak menentu ketika ini membuat penduduk di kawasan rendah sering berdepan ‘kejutan’ sehingga tidak lena tidur malam memikirkan ancaman tersebut setiap kali hujan lebat.
Situasi itu dapat dilihat apabila Kelantan merekodkan purata hujan melebihi purata hujan bulanan.
Ekoran itu, 44 kejadian banjir monsun direkodkan di negeri ini berpandukan kenyataan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad semasa Program Gerak Kerja Pasca Banjir di Tumpat, 29 Disember lalu.
Purata hujan yang tinggi itu menyaksikan beberapa kawasan yang tidak pernah ditenggelami banjir turut berdepan dengan situasi berkenaan kali ini.
Memburukkan lagi keadaan, sistem saliran dan perparitan yang tidak sempurna mempercepatkan lagi berlakunya banjir. Perkara ini perlu diberikan perhatian khusus oleh kerajaan negeri dan tidak hanya memberi alasan semata-mata untuk ‘menutup’ kelemahan.
Sebaliknya rakyat mahu gerak kerja terus dilakukan kerana masalah ini sudah berlaku sekian lama, seolah-olah tanpa penghujung.
Situasi ini menyebabkan ada dalam kalangan mangsa mengakui terkejut dengan peningkatan paras air terlalu cepat sehingga mereka tidak sempat berkemas.
Ada dalam kalangan mangsa hanya membawa keperluan penting berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).
Mengejutkan lagi ada dalam kalangan mangsa di beberapa kawasan di Rantau Panjang terpaksa menggunakan air banjir untuk minum, memasak serta mandi ekoran ‘putus’ bekalan air bersih.
Ada juga dalam kalangan mangsa yang ‘terkepung’ sehingga terpaksa ‘mencatu’ bekalan makanan disebabkan peningkatan paras air.
Berbaki dua bulan sebelum ‘edah’ banjir tamat sepenuhnya, penduduk di kawasan rendah dan pernah menjadi mangsa pada Disember lalu perlu sentiasa waspada untuk berdepan sebarang kemungkinan. – UTUSAN