Warga Pakistan didakwa sebabkan kematian abang

Warga Pakistan didakwa sebabkan kematian abang

TERTUDUH, Ali Ashtar (dua kiri) dikawal polis setelah didakwa menyebabkan kematian abanganya di Mahkamah Sungai Petani. -UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki warga Pakistan didakwa di Mahkamah Seksyen, di sini hari ini kerana menyebabkan kematian abangnya dalam kejadian di Taman Desa Meranti, di sini akhir bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh tidak memahami bahasa Melayu sebelum Hakim Azman Abu Hassan menetapkan sebutan semula kes pada 20 Februari ini bagi mendapatkan jurubahasa Urdu.

Mengikut pertuduhan, Ali Ashtar, 34, yang bekerja sebagai buruh binaan didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Mukhtiar Ali, 39, yang juga abangnya di sebuah rumah beralamat di Taman Desa Meranti, kira-kira pukul 10.30 malam, 31 Disember lalu.

Dengan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh dan boleh dihukum di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan (Akta 574).

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Galvin Loo Wei Ming manakala tertuduh diwakili Peguam SP Raman.

Pada 3 Januari lalu, akhbar ini melaporkan dua beradik itu bertengkar selepas Mukhtiar melarang adiknya pulang ke Pakistan untuk bertemu keluarga selain menyembunyikan tiket penerbangan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, suspek yang berang kemudiannya bertindak di luar kawalan dengan memukul dan menikam abangnya sehingga parah.

Mangsa yang tidak sedarkan diri dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk diberikan rawatan, sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 10.30 malam.

Suspek yang berjaya ditahan mengaku memukul dan menikam abangnya dan polis turut menemukan sebilah pisau yang dipercayai digunakan semasa kejadian. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya