YAN: Seorang wanita warga emas mengalami kerugian kira-kira RM30,000 apabila rumahnya dipecah masuk penjenayah di Kampung Teroi Bukit, Guar Chempedak, di sini, awal pagi semalam.
Difahamkan kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi ketika mangsa yang berusia 69 tahun itu sedang tidur berseorangan di dalam salah sebuah bilik di kediaman terbabit.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Shahnaz Akhtar Haji berkata, kejadian disedari mangsa selepas terdengar bunyi barangan terjatuh dan mendapati seorang lelaki yang tidak dikenali berada di dalam biliknya.
Katanya, mangsa terus menjerit meminta tolong menyebabkan suspek bertindak berlari keluar dengan mengambil beg tangan berwarna hitam milik mangsa.
“Di dalam beg tangan tersebut mengandungi barangan berharga milik mangsa seperti seutas gelang tangan dan dua bentuk cincin emas.
“Selain itu, terdapat juga wang tunai berjumlah RM4,000, kad mesin juruwang automatik (ATM), kad pengenalan dan beberapa lagi dokumen penting milik mangsa,” katanya di sini, hari ini.
Shahnaz berkata, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati tidak terdapat sebarang kesan umpil atau pecah di bahagian pintu rumah mangsa.
“Suspek menutup muka dengan kain sarung dan dipercayai masuk ke dalam rumah mangsa dengan membuka selak di pintu belakang bahagian dapur melalui tingkap.
“Suspek kemudiannya masuk ke dalam bilik mangsa yang tidak berkunci dan keluar melalui pintu hadapan sebaik sahaja mangsa tersedar dan menjerit meminta tolong,” jelasnya.
Katanya, Unit Anjing Pengesan (K9) telah dipanggil bagi mengesan tempat laluan suspek, namun tidak berjaya mengesan pergerakan suspek dan kes kini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan. –UTUSAN