Warden penjara edar dadah dihukum gantung - Utusan Malaysia

Warden penjara edar dadah dihukum gantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Seorang warden penjara dikenakan hukuman gantung di Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah mengedar dadah seberat 410.07 gram dekat kuarters Kompleks Penjara Sungai Buloh pada empat tahun lalu.

Hakim Nurulhuda Nur’aini Md. Nor menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Mohd. Elmy Arif Hamid, 40, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan dan anggapan mengedar dadah.

Selain hukuman gantung, tertuduh turut dikenakan penjara dua tahun dari tarikh tangkap dan tiga sebatan kerana memiliki dadah jenis heroin dan monoacetylmorphines seberat 5.25 gram.

Berdasarkan fakta kes, bapa kepada tiga orang anak itu berdepan enam pertuduhan, dua daripadanya berkaitan pengedaran dadah jenis kanabis seberat 325.1 gram dan metafetamin (84.97 gram) dekat sebuah rumah kuarters berkenaan pada 18 Jun 2019.

Justeru, bagi kedua-dua pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama.

Selain itu, Mohd. Elmy pada tarikh serta lokasi sama didakwa memiliki heroin seberat 4.25 gram dan monoacetylmorphines (1 gram) yang dituduh di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 12(2) ADB 1952. Bagi kesalahan itu dia dihukum di bawah Seksyen 39A (1) dan Seksyen 12(3) akta sama.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, tertuduh dirumah berkenaan dituduh memiliki dadah jenis etizolam serta clozapine seberat 38.67 gram dan 50.80 gram. Justeru, dia dituduh di bawah Seksyen 30(3) dan Seksyen 32(2) Akta Racun 1952 serta dihukum di bawah Seksyen 30(5) dan Seksyen 32(2) akta sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hasim manakala Mohd. Elmy diwakili peguam, Zameri Mat Nawang dan Ilya Hakim.

Shahrul ketika dihubungi memaklumkan, sebanyak sembilan orang saksi peringkat pendakwaan dan tiga pada pembelaan memberi keterangan dalam prosiding yang bermula 24 Ogos 2021. Kes ditutup pada 9 Disember 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya