Wanita warga Thailand maut kereta dipandu bertembung lori - Utusan Malaysia

Wanita warga Thailand maut kereta dipandu bertembung lori

ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat Aminoh Ismail yang tersepit selepas kereta Perodua Viva yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 80, Jalan Jerangau-Jabor dekat Bukit Besi, Dungun, Terengganu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN : Seorang wanita warga Thailand maut selepas Perodua Viva yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 80, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran persimpangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bukit Besi, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 petang, Aminoh Ismail, 39, yang bekerja sebagai peniaga kedai makan meninggal dunia di lokasi kejadian setelah mengalami kecederaan di kepala manakala pemandu lori jenis Nissan berusia 36 tahun dari Kuantan, Pahang tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Baharudin Abdullah berkata, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang dari Bandar Al Muktafi Billah Shah ke rumahnya di Kampung Bukit Besi.

“Kemalangan dipercayai berlaku selepas Perodua Viva yang dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

“Dalam masa sama, lori berkenaan dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu melanggar kenderaan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang tersepit telah dikeluarkan oleh anggota bomba dan penyelamat sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Baharudin berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya