Wanita OKU ditemukan mati dalam semak rajin bekerja

Wanita OKU ditemukan mati dalam semak rajin bekerja

MUHAMMAD Harith Mustaqim menunjukkan gambar Zarina Mukhtar di Kampung Sungai Rengas, Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Wanita kurang upaya (OKU) yang ditemukan mati di kawasan semak di Kampung Alor Gali, Marang, minggu lalu disifatkan sebagai seorang yang rajin bekerja.

Menurut anak saudara mangsa, Muhammad Harith Mustaqim Mohd. Sabri, 31, ibu saudaranya, Zarina Mukhtar, 57, yang bermasalah pendengaran juga disenangi ahli keluarga kerana sikapnya yang penyayang.
Muhammad Harith berkata, Allahyarham berada di Kuala Lumpur sejak lebih dua bulan lalu bagi mencari pekerjaan dan tinggal bersamanya pada minggu terakhir sebelum mangsa pulang ke Terengganu.

“Walaupun OKU pendengaran, ibu saudara saya itu sangat rajin bekerja bagi mencari duit poket dan arwah pernah mengerjakan umrah menggunakan hasil titik peluhnya 10 tahun lalu.

“Arwah mencari pekerjaan kerana sedang mengumpul duit untuk menunaikan haji pula namun gagal dan ingin pulang ke Terengganu,” katanya ketika ditemui di Kampung Sungai Rengas di sini, semalam.

Muhammad Harith memberitahu, dia menghantar Zarina ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada 15 Januari selepas mangsa menetap di rumahnya di Bangsar, Kuala Lumpur selama seminggu.

Beliau memberitahu, mereka tidak mengesyaki sebarang kejadian buruk menimpa mangsa walaupun usaha menghubungi Zarina melalui apliksi WhatsApp dan panggilan selepas itu tidak berjaya.
“Sepanjang tinggal bersama saya, isteri dan anak-anak, kami sempat bersiar-siar di sekitar Kuala Lumpur kerana kami sangat akrab dan saya tidak sangka itu pertemuan terakhir.

“Hampir seminggu selepas menghantar arwah, kami dimaklumkan penemuan mayat seorang wanita di Marang dan saya datang ke Terengganu membuat pengecaman pada 22 Januari lalu,” ujarnya.
Ibu Muhammad Harith Mustaqim yang juga adik mangsa, Rozelaini, 55, berkata, Zarina tinggal di Kampung Sungai Rengas di sini sejak arwah kematian suami pada 2021.
Menurut Rozelaini, mereka sempat berhubung melalui panggilan video ketika Zarina masih di TBS dan bertanyakan jika kakaknya itu mahu dia mengambilnya sebaik tiba di Terengganu.
“Namun arwah menolak kerana enggan menyusahkan saya dan mahu pulang sendiri ke rumah. Saya ada cuba menghubunginya keesokan hari tetapi tidak terjawab,” katanya.

Pada 19 Januari lalu, mayat seorang wanita yang lengkap berpakaian ditemukan di kawasan semak di Kampung Alor Gali, Marang kira-kira pukul 2 petang.

Siasatan polis membawa kepada penahanan seorang ahli keluarga terdekat berumur 59 tahun di Jeli, Kelantan, kelmarin dan direman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302.-utusan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya