Wang bantuan dilarikan: Menteri sahkan berlaku pelanggaran SOP - Utusan Malaysia

Wang bantuan dilarikan: Menteri sahkan berlaku pelanggaran SOP

FADHLINA Sidek bersama seorang murid ketika melawat (SK) Chepor, Chemor di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Pendidikan akan memastikan murid di sebuah sekolah di Beranang, Selangor yang sepatutnya menerima wang bantuan awal persekolahan hari ini namun wang tersebut hilang dilarikan penjenayah semalam, tetap mendapat wang bantuan tersebut.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, wang bantuan yang hilang itu adalah hak murid dan mereka berhak untuk menerimanya.

“Itu (wang bantuan awal persekolahan) adalah hak mereka, jadi kita tak berkompromi, kita akan pertahankan, kita jaga, kita akan pastikan mendapat hak mereka.

“Kita akan lihat balik prosesnya (pemberian wang bantuan), sebab SOP (prosuder operasi standard) kalau hilang disebabkan cuai akan ada prosesnya.

“Kita akan lihat semua, sebab ini hak mereka jadi mesti dikembalikan. Setakat ini pemberian wang bantuan awal persekolahan ini berjalan lancar, cuma kebetulan ada satu kes begini dan kita ambil serius,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika lawatan di Sekolah Kebangsaan (SK) Chepor, Jalan Jelapang, Chemor di sini hari ini.

Mengulas lanjut kes kehilangan wang bantuan awal persekolahan yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang, Selangor yang dilarikan penjenayah semalam, Fadhlina berkata, kementerian mendapati berlaku pelanggaran SOP kerana tidak membawa pengiring.

Beliau berkata, berdasarkan SOP, pengeluaran wang sehingga RM10,000 disyaratkan perlu ada pengiring.

“Kementerian memandang serius kejadian ini, pertama kerana ia melibatkan kehilangan jumlah yang besar. Kedua, ada pelanggaran SOP kerana tiada pengiring ketika pengeluaran wang dibuat. Yang penting perlu ada pengiring iaitu polis atau guru lain, bergantung pada jumlah (pengeluaran).

“Pengeluaran lebih RM10,000 mesti ada pengiring. Untuk kes ini kita akan tunggu laporan Jabatan Pendidikan Selangor, sebab saya tak boleh simpulkan selagi tak dapat laporan penuh JPN dan polis. Kita akan umumkan tindakan yang akan diambil, ,” katanya.

Semalam, Polis mengesahkan menerima satu laporan berhubung wang bantuan awal persekolahan berjumlah lebih RM100,000 yang diperuntukkan untuk sebuah sekolah di Beranang, Selangor hilang dilarikan penjenayah.

Mengesahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Utusan Malaysia difahamkan, wang berkenaan baru sahaja dikeluarkan oleh pengetua sekolah terlibat sebelum cermin kenderaannya dipecahkan ketika pergi membeli minuman.

Dalam kejadian pukul 10 pagi itu, pengetua berkenaan mengeluarkan wang bantuan awal persekolahan dari sebuah bank di pekan Semenyih yang sepatutnya diagihkan kepada pelajarnya hari ini.

Sejurus selepas mengeluarkan wang berkenaan, dia menuju ke arah kenderaannya yang terletak kira-kira 30 meter dari bank. Difahamkan, wang itu diletakkan di bawah kerusi penumpang hadapan.

Dia kemudian ke kedai makanan bersebelahan bank untuk membeli minuman. Namun sebaik sahaja tiba semula di kenderaannya, didapati cermin bahagian penumpang pecah dan wang telah hilang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN