PUTRAJAYA: Dua varian Covid-19 iaitu BA.5.2 dan BF.7 yang menular di China ketika ini, dikesan berada di Malaysia pada bulan Mac dan Ogos tahun lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kemuncak penularan varian BA.5.2 adalah sekitar bulan September hingga Oktober lalu dan banyak ditemui di negara seperti Afrika Selatan, England, China dan Amerika Syarikat.
“Ia dikesan di Malaysia sejak 16 Mac 2022. Sehingga 31 Disember 2022, data terkini mendapati 4,152 kes dijangkiti dengan BA.5.2. Kini prevalen varian ini semakin menurun di seluruh dunia.
“Bagi varian BF.7 pula, kemuncak penularan adalah pada Oktober 2022 dan ia banyak ditemui di negara seperti Belgium, England, Denmark dan juga China,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Menurut beliau, varian BF.7 dikesan di negara ini sejak 21 Ogos tahun lalu dan sehingga 31 Disember, tiga kes dikesan dijangkiti dengan varian tersebut.
Jelas Noor Hisham, kes pertama dikesan pada 21 Ogos 2022 yang merupakan kes jangkitan tempatan, manakala kedua pada 6 September iaitu kes import jangkitan dari negara Turki.
“Bagi kes ketiga pada 7 Oktober 2022 merupakan kes jangkitan tempatan,” ujarnya.
Semalam, media melaporkan setakat 31 Disember lepas, terdapat sejumlah 4,148 kes di negara ini yang dijangkiti varian BA.5.2 dan tiga kes dijangkiti BF.7.
Bagaimanapun, Noor Hisham berkata, belum ada data yang dapat mengaitkan peningkatan bilangan kes kemudaratan atau kematian dengan kedua-dua varian. – UTUSAN