USM bantu pusat sumber sekolah, perpustakaan komuniti - Utusan Malaysia

USM bantu pusat sumber sekolah, perpustakaan komuniti

PERPUSTAKAAN USM membantu menyumbang kepakaran bagi menambah baik pusat sumber sekolah dan perpustakaan komuniti menerusi program khidmat masyarakat dan pemindahan ilmu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Perpustakaan Universiti Sains Malaysia (USM) membantu lebih 10 pusat sumber sekolah dan dua perpustakaan komuniti melalui sumbangan kepakaran bagi menambah gbaik pusat sumber sekolah dan perpustakaan komuniti.

Pemangku Ketua Pustakawan USM, Mohd. Nasir Md. Rashid berkata, program tersebut merupakan program khidmat masyarakat dan pemindahan ilmu yang dimulakan sejak 2010.

Katanya, ia bertujuan membantu menambah baik pusat sumber atau perpustakaan komuniti sama ada dari segi fizikal, pengurusan koleksi serta pembangunan sistem.

“Antara aktiviti yang telah dibuat termasuk transformasi ruang dalaman dan luaran, pengkelasan, penyusunan semula bahan bacaan serta latihan berkaitan amalan terbaik pengurusan pusat sumber atau perpustakaan kepada guru dan pengawas pusat sumber dan banyakl lagi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd Nasir, pihaknya berharap inisiatif berterusan itu akan memberikan impak positif kepada pelajar atau komuniti dengan membolehkan mereka menikmati pusat sumber atau perpustakaan komuniti yang kondusif dan selesa.

“Kemudahan pusat sumber dan perpustakaan yang baik akan meningkatkan penggunaannya serta membantu memupuk amalan dan minat membaca yang sejati dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, Perpustakaan USM turut menyumbangkan bahan bacaan bagi membantu memperkaya koleksi pusat sumber atau perpustakaan komuniti terbabit.

”Kita juga mengalu-alukan sumbangan bahan bacaan daripada orang ramai terutamanya yang bersesuaian bagi pelajar sekolah rendah dan menengah dalam pelbagai genre.

“Bahan bacaan yang terkumpul ini akan diserahkan kepada sekolah atau perpustakaan komuniti yang memerlukan dari semasa ke semasa,” katanya.

Tambah beliau, maklumat lanjut berkenaan sumbangan bahan bacaan dan program khidmat masyarakat serta pemindahan ilmu boleh berhubung menerusi WhatsApp, 011-58621210 atau emel [email protected]. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya