PETALING JAYA: Walaupun masih mentah dalam bidang muzik dengan usia pembabitan masih setahun jagung, penyanyi berusia 17 tahun, Restu berpeluang beraksi dalam konsert ST12 Reunion-20 Tahun Charly, 11 Mac depan.
Restu atau nama penuhnya, Mohammad Restu Gibran Van Houten bakal beraksi bersama Firman Siagian dan dua penyanyi terkenal Malaysia, Jaclyn Victor serta Ezad Lazim di Axiata Arena, Bukit Jalil, 11 Mac depan.
Menurut Restu, konsert ini menjadi titik permulaan untuk dirinya memperkenalkan bakatnya kepada peminat muzik di negara ini.
“Harapnya karya ini dapat dinikmati dan diterima penggemar muzik di tanah air.
“Ia ruang terbaik untuk saya membuktikan bakat. Sebagai penyanyi baharu, saya bersemangat memberikan karya terbaik untuk dinikmati pencinta muzik di dalam dan luar Indonesia.
“Ayah sering bilang, saya perlu menjadi anak lelaki yang bertanggungjawab dan tetap fokus dalam apa yang saya usahakan. Itu yang akan saya buktikan pada konsert itu nanti,” katanya.
Membesar dalam keluarga berdarah seni barangkali membuatkan umum berfikir dia tidak berdepan laluan sukar untuk membina nama dalam industri muzik.
Hakikatnya, Restu selesa berdikari tanpa perlu bergantung populariti ayahnya kerana memberikan lebih kepuasan buat anak sulung vokalis Setia Band, Charly Van Houten dan Shinta Regina.
Dilahirkan pada 24 September 2005, Restu mengaku, sejak kecil dia sering melihat ayahnya menyanyi dan berkarya, malah kerap menemani bekas vokalis ST12 itu ke konsert.
“Membesar dalam lingkungan pemuzik membuatkan darah seni turut mengalir dalam diri. Namun, ayah tidak pernah memaksa saya mengikut jejak langkahnya.
“Cuma, saya akhirnya membuat pilihan untuk bergerak sebagai pemuzik secara profesional. Ia pilihan sendiri, tiada paksaan daripada sesiapa,” katanya.
Restu berkata, meskipun tidak dibimbing secara berterusan, bapanya sentiasa mendokong apa juga usaha yang dilakukannya.
Malah untuk single perdananya, Saranghaeyo yang diperkenalkan 25 Mac, tahun lalu, ayahnya bertindak sebagai penerbit bersama KGS M. Ipul.
“Ayah merupakan pendukung terbesar saya. Dia sering menitipkan pesanan supaya saya fokus dan terus berkarya, meskipun nanti perjalanan saya berdepan dugaan serta rintangan.
“Secara jujur, karya ayah banyak mempengaruhi kerana sejak kecil, saya sudah ‘didoktrin’ dengan muzik yang dibawanya bersama ST12 dan Setia Band.
“Namun, saya juga punya kecenderungan dan rujukan muzik yang tersendiri. Itu yang cuba saya gabungkan dalam karya yang saya hasilkan,” katanya.
Bernaung di bawah label berpengaruh, Trinity Optima, Restu berkata, dia hanya mencuba nasib apabila memaklumkan karya yang dihasilkannya kepada syarikat rakaman tersebut.
“Alhamdulillah, ia diterima biarpun terpaksa menunggu agak lama. Hampir setahun saya menanti sebelum mendapat respons daripada syarikat rakaman.
“Bersama mereka, saya ingin mencuba sesuatu yang baharu dan membentuk identiti muzik Restu Van Houten sendiri tanpa dipengaruhi penyanyi sedia ada,” katanya.
BELAJAR DI PESANTREN
Bercerita mengenai sisi peribadinya, anak sulung daripada dua beradik ini mengaku, ketika kecil dia agak pemalu dan suka menyendiri. Sifat itu berlanjutan sehingga dia memasuki sekolah rendah.
Meskipun meminati muzik, namun bakatnya tidak ke arah itu. Restu sebaliknya, lebih aktif dalam bidang sukan seperti bola sepak, renang dan badminton.
“Apabila memasuki sekolah menengah, saya memutuskan untuk ke pesantren Darussalam. Di situ, saya belajar ilmu agama dan mengenal erti kehidupan.
“Malah, di situ juga hasrat untuk bermuzik turut bertunas. Saya mula menghasilkan lagu, belajar hal-hal berkaitan rakaman sehingga saya memasuki sekolah tinggi.
“Saya seterusnya mengambil keputusan pulang ke Bandung kerana situasi ketika itu tidak kondusif disebabkan pandemik. Saya cuba buat lagu dan akhirnya terhasil Saranghaeyo,” katanya.
SOKONGAN KELUARGA
Menyifatkan muzik sebagai wadah untuk berkarya, Restu berkata, sokongan keluarga membuatkan dia semakin yakin meneruskan langkahnya sebagai anak seni.
Akuinya, sebagai anak kepada Charly, dia bersyukur diberikan kemudahan dan kelancaran untuk menentukan arah serta haluannya sebagai pemuzik.
Situasi itu, bagaimanapun kata Restu, ada ketika membuatkan dia sedikit terbeban.
“Saya tidak lari daripada dibayangi ayah. Itu fakta kerana Charly adalah bapa saya. Apa yang mampu saya lakukan adalah buktikan kemampuan dan berdiri atas kekuatan bakat sendiri.
“Saya yakin dengan bakat yang saya ada. Alhamdulillah, awal perjalanan saya bermula mulus, tetapi itu belum membuatkan saya puas dengan apa yang telah dicapai.
“Saya mahu memberikan lebih lagi dan menghasilkan karya yang bagus untuk mengangkat nama Restu Van Houten pada posisi lebih aman,” katanya.
Tiket Konsert ST12 Reunion – 20 Tahun Charly Berkarya dijual bermula RM99, RM152, RM252 dan RM282 serta boleh diperoleh menerusi pautan www.ticket2u.com.my.