GEORGE TOWN: UMNO dikhuatiri hanya akan menjadi parti yang menumpang kekuatan parti lain dalam Pakatan Harapan (PH) selepas jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan Perhimpunan Agung UMNO yang dijangka Mei ini.
Veteran politik, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, keputusan itu juga mungkin membuatkan UMNO hilang kepercayaan daripada rakyat kerana parti itu telah melenyapkan proses demokrasi yang selama ini menjadi prinsip parti tersebut.
“UMNO tidak menunjukkan parti ini adalah satu parti yang menjunjung demokrasi selepas jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.
”UMNO telah hilang kekuatan sendiri dan hanya menumpang kekuatan parti-parti lain untuk menang, UMNO sekadar parti serpihan sekarang dan bukan lagi parti yang berdiri dengan kekuatan sendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Perhimpunan Agung UMNO 2022 semalam meluluskan usul jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang dan keputusan itu tidak boleh dicabar.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia adalah keputusan muktamad selepas dipersetujui perwakilan.
Menurut Mohd. Yussof, gelanggang pertandingan sepatutnya dibuka sendiri oleh Presiden dan Timbalan Presiden memandangkan ada pencabar yang telah mengumumkan bersedia bertanding jawatan tersebut.
”Suara perwakilan sebelum ini yang bersetuju sebulat suara bahawa ‘No Anwar, No DAP’ pun telah dimungkiri Ahli Majlis Tertinggi UMNO, jadi mengapa pula kali ini mereka mahu kekalkan keputusan perwakilan untuk tidak dipertandingkan dua jawatan tertinggi parti.
“Suara peringkat cawangan mahukan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan, jadi keputusan tiada pertandingan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden perlu didengari pemimpin atasan,” katanya.
Tambahnya, beliau kecewa kerana pada masa ini terdapat suara-suara daripada pemimpin peringkat atasan UMNO yang mahu menutup pertandingan di peringkat Ketua Bahagian pula selepas jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.
”Sekarang ini ada pihak tertentu yang mahu menjadikan UMNO milik pemimpin dengan mematikan proses demokrasi.
”Saya bimbang sekiranya ini berlaku, UMNO nampaknya tidak ada harapan untuk meraih semula kepercayaan rakyat, apatah lagi untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti,” katanya. – UTUSAN