ALOR SETAR: UMNO Kedah yakin keterbukaan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam pembahagian kerusi dapat memberi tentangan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, tidak timbul isu ‘abang besar’ dalam memuktamadkan kerjasama dan pembahagian kerusi kelak kerana sikap terbuka UMNO.
“Tidak dinafikan kekuatan PN pada ketika ini berada di dalam keadaan yang terbaik, namun keterbukaan PH dan BN dalam pembahagian kerusi akan dapat mengubah suasana dan dijangka mampu memberikan tentangan di beberapa kawasan.
“Tidak timbul juga isu abang besar kerana UMNO selama ini tidak mempunyai perwatakan sedemikian,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar bahawa PH dan BN harus berjiwa besar serta merendahkan ego masing-masing untuk tidak menjadi ‘abang besar’ demi meraih kemenangan dalam PRN kelak.
Tambah Shaiful Hazizy, demografi dan landskap politik hari ini sudah berubah lantas memerlukan gabungan strategik demi memenangi pilihan raya itu.
“Setiap parti kena terbuka mengakui kekuatan dan kelemahan justeru itu bergabung untuk menang. UMNO terbuka dan berada dalam keadaan yang terbaik untuk berbincang demi mematahkan ego dan kesombongan Menteri Besar,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya mempercayai perbincangan peringkat atasan parti akan dilakukan menjelang PRN nanti dengan matlamat sama iaitu menamatkan kerajaan PN di Kedah yang hanya gah dengan ‘pengumuman mega’ tetapi hasil kepada rakyat tidak terlalu dirasai. –UTUSAN