UMNO jumpa ROS isu usul tiada pemilihan Presiden, Timbalan Presiden - Utusan Malaysia

UMNO jumpa ROS isu usul tiada pemilihan Presiden, Timbalan Presiden

UMNO ROS
AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: UMNO dilaporkan sudah menemui Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) bagi memberi penjelasan terperinci mengenai usul tambahan dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan pada pemilihan parti itu nanti.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pertemuan itu dihadiri beliau bersama tiga ahli parti membawa dokumen disediakan peguam dan memberi penjelasan kepada Ketua Pengarah jabatan berkenaan, Nawardi Saad di Ibu Pejabat ROS di Putrajaya, kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.

“Saya menyatakan bahawa tiada sebarang pelanggaran peraturan mesyuarat atau perlembagaan UMNO berkaitan usul itu.

“Lebih 90 peratus perwakilan yang menghadiri perhimpunan agung itu bersetuju dengan usul nombor lapan iaitu jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Dialog Belanjawan 2023 di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menegaskan usul dua jawatan tertinggi tidak dipertandingkan pada pemilihan parti  yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 itu adalah sah dan tidak boleh dicabar.

Usul itu lulus mengikut peraturan menerusi perhimpunan agung yang menjadi badan tertinggi dalam UMNO seperti termaktub dalam Perlembagaan parti.

Pada 20 Januari lalu, ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Muhammad Aizat Fikri Mohd Nasir dan ahli UMNO Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammmad Rom tampil membuat aduan kepada ROS berkaitan isu berkenaan.

Jelas Ahmad Maslan, beliau sudah menjawab segala pertanyaan daripada pasukan ROS itu dengan rapi dan sebaik mungkin serta akan menyerahkan dokumen tambahan kepada jabatan tersebut pada Khamis ini untuk diteliti.

“Semua jawapan itu berdasarkan peraturan dan perlembagaan sedia ada UMNO. Sesi pertemuan dan perbincangan berkenaan berjalan dengan baik serta profesional antara kedua-dua pihak.

“UMNO berharap ROS dapat memberi jawapan atau keputusan secepat mungki menjelang pemilihan parti yang bakal bermula esok. Perkara itu penting kerana pemilihan parti melibatkan cawangan sehingga Majlis Kerja Tertinggi (MKT),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya