UMNO berpecah lagi jika ada pertandingan - Nur Jazlan

UMNO berpecah lagi jika ada pertandingan – Nur Jazlan

NUR JAZLAN MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli akar umbi UMNO tidak perlu menjadikan kegagalan parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai alasan untuk menukar pucuk kepimpinan tertinggi parti.

Timbalan Pengerusi Badan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kekalahan berkenaan bukan hanya digalas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, tetapi semua pihak secara keseluruhan termasuk pemimpin di peringkat negeri, bahagian dan cawangan.

“Sebaiknya semua orang muhasabah diri. Jadikan, kekalahan itu sebagai pedoman dan pengajaran untuk kembali bekerja bagi memenangi hati pengundi serta menyerang balas pihak lawan. Jadilah penyokong setia kepada parti walaupun terpaksa berkorban diri dan saya sendiri sanggup bertanding di Parlimen Pulai pada PRU15 lalu walaupun sedar kerusi itu adalah kawasan minoriti Melayu dan saya telah nyatakan dari awal lagi bahawa kerusi Parlimen Pulai mustahil untuk menang.

“Tapi saya buat demi parti. Saya nak ingatkan ahli UMNO supaya tak terpedaya dengan sesetengah Ahli Parlimen UMNO yang menang bawah tiket UMNO tapi selepas menang melupakan parti. Macam kacang lupakan kulit seperti ramai Ahli Parlimen UMNO yang melompat dan lebih teruk lagi yang khianat kepada parti dengan bersekongkol dengan Mahathir (Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sebelum ini.

“Sebab itulah saya rasa jawatan Presiden dan Timbalan ini tak payahlah nak lawan-lawan. Baik kita fokus macam mana nak kukuhkan kembali UMNO dan mengembalikan semula kepercayaan rakyat selepas parti difitnah teruk selama ini. Lagipun dengan kedudukan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah merupakan platform terbaik untuk mendekati dan membina semula keyakinan penduduk luar bandar terhadap keupayaan UMNO membela rakyat,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai turut mempersoalkan siapa calon yang hendak diangkat untuk mengganggu kepimpinan sedia ada yang telah berusaha untuk memulihkan kedudukan UMNO setelah tewas pada PRU14 lalu.

“Kita nak harapkan orang pengecut yang paling awal lari lintang pukang selepas UMNO kali pada PRU14 dulu. Kita nak bergantung kepada orang yang gagal jadi Perdana Menteri ke-9 atau kita nak serahkan nasib parti kepada orang yang sibuk jadi broker yang selama ini nak jual maruah UMNO kepada parti lawan.

“Atau kita nak pilih seorang individu yang bergegar-gegar mahu gantikan tempat Presiden ketika berceramah di pentas kempen PRU15 lepas tapi akhirnya kalah di negeri liberal. Sudahlah dia sendiri ditolak di negeri sendiri, lepas itu diberi peluang pula bertanding di negeri lain kononnya dia cukup popular tapi tumbang juga.

“Kita kena fikirkan banyak benda sebelum nak ikut emosi. Cakap nak tukar pemimpin memang senang tapi nak pastikan pemimpin yang baharu angkat itu dapat bela nasib parti, belum tentu,” katanya.

Justeru, beliau menyokong penuh usul agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan demi perpaduan dan ke arah usaha pemulihan sokongan terhadap UMNO.

Menurutnya, sekiranya kedua-dua jawatan tertinggi berkenaan tetap dipertandingkan, ia hanya akan menimbulkan perasaan tidak puas hati, perbalahan dan perpecahan antara ahli dalaman parti.

“Bagi saya, buat apa kita nak ada pertandingan dua jawatan utama itu dalam keadaan sekarang jika hanya nanti akan bawa perpecahan dan menggugat perpaduan ketika UMNO dalam proses pemulihan selepas PRU15. Kita boleh lihat setiap kali berlaku pertandingan jawatan Presiden pastinya berlaku perpecahan dalam UMNO.

“Adakah kita sanggup nak lihat sekali lagi UMNO berpecah dan ada puak-puak atau ada dua pasukan seperti 40 tahun lalu. UMNO sudah banyak kali berpecah bermula dengan wujudnya Pas, Semangat 46, PKR dan Bersatu. UMNO tak mampu nak terima perpecahan besar sekali lagi kerana kalau kita pecah lagi maka jangka hayat UMNO tak akan lama,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya