PERMATANG PAUH: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang di sini melakar sejarah tersendiri apabila mengungguli dua pertandingan kulinari antarabangsa yang berlangsung di Turkiye dan Vietnam, masing-masing pada bulan November serta Disember lalu.
Dalam pertandingan ‘World Cook Olympic’ yang diadakan di Istanbul, Turkiye pada 24 hingga 27 November lalu, kontinjen UiTM Pulau Pinang yang diwakili hampir 20 peserta termasuk pegawai pasukan itu turut diperkuat dengan kehadiran beberapa wakil daripada Management & Science University (MSU) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).
Selain memenangi pingat emas dan dinobatkan sebagai pemenang keseluruhan kategori Top Chef, mereka turut meraih perak bagi kategori universiti terbaik dalam pertandingan berkenaan.
Ketua kontinjen UiTM Pulau Pinang ke Turkiye, Mohd. Syafiq Othman berkata, kejayaan tersebut di luar dugaan kerana mereka hanya mempunyai tempoh kira-kira dua bulan sahaja untuk membuat persiapan sebelum menyertai pertandingan tersebut.
Beliau yang juga merupakan pensyarah kulinari di universiti tersebut berkata, selain wakil Malaysia, pertandingan yang sama turut disertai oleh lebih 20 negara lain dengan hampir 300 peserta keseluruhannya.
“Ini kali kedua UiTM menyertai pertandingan ini kerana ketika edisi pertama iaitu pada 2021, pasukan lain yang dihantar ke sana (Turkiye) untuk mewakili Malaysia.
“Bagaimanapun, untuk penyertaan pertama itu, ia lebih bersifat pendedahan (kepada pertandingan bertaraf antarabangsa) sahaja dan kita tidak menyasarkan sebarang kemenangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Sementara itu, dalam pertandingan Vietnam Cullinary Challenge 2022 yang diadakan selama lima hari bermula 5 Disember lalu di Ho Chi Minh, kontinjen UiTM Pulau Pinang berjaya menggondol satu pingat emas, enam pingat perak dan enam gangsa serta lima diploma dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan.
Pada masa sama, mereka turut membawa pulang Anugerah Kebersihan dan Keselamatan Terbaik dalam pertandingan tersebut.
Wakil pasukan, Alif Firdaus Ali berkata, edisi kedua itu lebih ‘mudah’ berbanding ketika pertandingan yang sama diadakan di Hanoi sebelum ini.
“Di Hanoi dulu, kita menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bahan mentah (untuk memasak). Tapi, di sini (Ho Chi Minh) lebih mudah kerana lebih banyak kemudahan,” katanya.
Tambah Alif Firdaus, pasukannya kini sedang membuat persiapan untuk menyertai satu lagi pertandingan kulinari antarabangsa iaitu di Bangkok, Thailand yang dijangka diadakan tidak lama lagi. – UTUSAN