GUA MUSANG: Pengguna jalan Gua Musang-Cameron Highlands di sini, berdepan risiko kemalangan setiap kali menggunakan laluan tersebut akibat permukaannya yang mendap dan berlubang-lubang.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, terdapat hampir 30 kerosakan melibatkan jalan mendap dan berlubang sejauh 16 kilometer dari kawasan lampu isyarat Taman Tropika sehingga ke Kampung Panggong Lalat.
Seorang pengguna jalan raya, Shahuri Ahmad, 49, berkata, pihak berwajib dapat melebarkan jalan terbabit selain terus melakukan penyelenggaraan secara berkala.
Katanya, jalan itu merupakan laluan utama bagi penduduk dari Gua Musang ke kawasan peranginan Cameron Highlands, Pahang dan Ipoh, Perak.
“Selain itu, ia adalah laluan penting untuk penduduk di Tanah Tinggi Lojing, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, Kampung Kundur untuk ke Bandar Gua Musang.
“Keadaan yang sempit dan tiada bahu jalan di sepanjang laluan itu sangat berbahaya kepada pengguna jalan raya terutama apabila berselisih dengan treler balak yang turut menggunakan jalan itu,” katanya.
Seorang lagi pengguna, Mohamed Hassan Ali, 40, juga berharap pihak berwajib dapat mempertimbanguntuk melebarkan jalan bagi keselesaan orang ramai.
“Laluan itu agak sibuk kerana ia jalan utama untuk pelancong ke Cameron Highlands dan Ipoh pada musim cuti persekolahan atau hari minggu.
“Pihak berwajib diharap dapat melebarkan jalan tersebut dan melakukan penyelenggaraan secara berkala bagi membaiki kerosakan, jalan mendap dan beralun, “ katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, pihaknya banyak menerima aduan daripada penduduk dan pengguna jalan berkenaan.- UTUSAN