JOHOR BAHRU: Seorang pemilik syarikat percetakan direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan tuntutan palsu lebih RM100,000, dua tahun lalu.
Perintah tahanan reman hingga Selasa ini terhadap lelaki berusia 53 tahun itu dikeluarkan Majistret Johor Bahru, Norkhalida Farhana Abu Bakar, di sini.
Tertuduh ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di pejabat SPRM Johor Bahru pada pukul 5 petang semalam selepas memberikan keterangan.
Menurut sumber, lelaki itu mengemukakan tuntutan palsu kepada sebuah sekolah menengah di sebuah daerah di negeri ini pada 2021 berkaitan pembekalan cetakan modul pembelajaran untuk kegunaan pelajar.
Walau bagaimanapun, pembekalan tersebut tidak dilaksanakan. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. – UTUSAN