Tolak fahaman agama, kaum sempit - PM - Utusan Malaysia

Tolak fahaman agama, kaum sempit – PM

ANWAR Ibrahim bersama Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Chow Kon Yoew ketika menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Spice Arena, Bayan Lepas hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BAYAN LEPAS: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat menerima perbezaan agama dan kaum di negara ini sebagai kekuatan dalam menyatukan antara satu sama lain.

Menurut Perdana Menteri, konsep masyarakat Madani yang cuba diperkenalkan beliau tidak akan memberi makna sekiranya masih ada persaingan dan fahaman sempit antara agama dan kaum dalam kalangan rakyat.

Tambah beliau, tidak ada sesiapa yang minta dilahirkan sama ada sebagai Melayu, Cina, India, Kadazan atau Dayak sebaliknya ia merupakan anugerah Allah SWT yang perlu diterima dan diraikan.

“Rakyat Malaysia kena ada keberanian untuk menolak fahaman perkauman yang sempit serta penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

“Kalau kita berjaya melakukan ini, saya yakin kita (Malaysia) mampu mencatat tahap kemajuan sangat cemerlang yang belum pernah kita catat dalam sejarah negara. Ini hanya akan berlaku dengan semangat yang utuh di dalam negara,” katanya.

Beliau berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Spice Arena di sini, hari ini yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Sementara itu, Anwar turut memuji Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang disifatkan berjaya memusatkan pembangunan ekonomi yang seiring dengan keadilan sosial kepada rakyat termasuk golongan miskin bandar dan B40.

“Sebab itu seperti yang saya tekankan sebelum ini, agihan kekayaan perlu seimbang yang mana kita perlu buat sesuatu yang lebih untuk masyarakat golongan rendah dan B40, barulah pembangunan itu lebih seimbang dan adil dan ini telah lama dilakukan di Pulau Pinang,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, pembangunan yang seimbang dan adil kepada semua kumpulan rakyat tersebut tidak boleh dilakukan sekiranya ekonomi negara tidak dapat dipacu dengan lebih maju dan berjaya.

Dalam masa sama, tambah beliau, kemajuan ekonomi dan negara juga akan gagal sekiranya tidak ada kesungguhan dalam merubah sistem yang menghalalkan amalan rasuah dan penyelewengan.

Beliau turut menyentuh mengenai fahaman yang mendakwa amalan ‘komisen’ dan ‘sedekah’ dalam pilihan raya adalah dibenarkan, bukannya korupsi yang mana fahaman tersebut jelas boleh merugikan negara dan masyarakat.

“Sedekah untuk amal jariah itu okay, tetapi sedekah untuk undi pada pilihan raya umum itu adalah korupsi,” katanya.

Dalam masa sama, Anwar sekali lagi menekankan beliau mempunyai keyakinan tinggi Malaysia mampu bangkit semula menjadi negara maju di rantau ini pada masa depan.

“Syaratnya adalah dengan menghentikan sikap dan perangai pemimpin politik, penjawat awam atau badan penguat kuasa dalam amalan merompak kekayaan negara.

“Saya tidak akan tolak ansur dengan sikap mereka yang menggunakan kontrak atau projek untuk mengambil kesempatan mencari kekayaan yang bukan hak mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya