BETULLAH bagai apa yang dikata ramai, Allahyarham Tan Sri P Ramlee sememangnya pengkarya Melayu yang mendahului zaman.
Baik dalam beliau menyindir tentang kehidupan harian masyarakat hinggalah bab dunia politik, semuanya ada dalam khazanah karya-karyanya.
Bab kehidupan berumah tangga pun ada diselitkan dalam karyanya. Kalau pernah tonton filem Madu Tiga, anda pasti boleh kaitkan dengan isu gamat yang sedang bertebaran dalam industri hiburan tanah air pada waktu ini.
Kebetulan pula, pembuka tahun baharu ini banyak cerita hal kegoyahan rumah tangga artis kita. Naik pening juga ‘jabatan netizen’ nak jalankan kerja.
Cik Bunga tak mahu sentuh rumah tangga artis yang mana satu. Tetapi, apa yang Cik Bunga dapat tahu, si suami yang sudah berkahwin dua ini, baik punya sudah tipu kedua-dua isterinya itu.
Nombor satu kata, suaminya itu berkali-kali kata mahu ceraikan isteri keduanya. Itu pun selepas si suami sudah kantoi kahwin baharu.
Nombor dua pula tak tahu yang dia sudah mahu kena cerai. Macam mana itu? Iyalah, perkara begitu bukan boleh dibuat main.
Sebagai lelaki yang berpoligami, sendiri yang buat hal, sendirilah tanggung dan selesaikan dengan kebijaksanaan akal. Jangan hanya mahu selamatkan tengkuk sendiri.
Cik Bunga bukan apa. Memang pantang kalau lelaki dah buat onar tapi tak pandai hendak selesaikan sendiri.
Adakah patut suruh orang lain pula menjadi jurucakapnya. Sampai bila?