Tiga penyelidik bangun aplikasi biaya tenaga diperbaharui

Tiga penyelidik bangun aplikasi biaya tenaga diperbaharui

SITI Fara Fadila Abd. Razak (tengah) bersama Hairolanuar Mohamad (kiri) dan Hafizah Muhamad (kanan) yang bekerjasama membangunkan GWWMS berlandaskan prinsip syariah pertama di negara ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tiga penyelidik dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (Jawhar) membangunkan Sistem Aplikasi Pengurusan Sisa Wakaf Hijau (GWWMS) berlandaskan prinsip syariah pertama di negara ini.

GWWMS bakal menjadi sumber rujukan utama dalam kalangan organisasi Jabatan Wakaf bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia sebagai instrumen yang baharu dalam penilaian terhadap Tabung Dana Wakaf yang diseliakan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua penyelidik, Siti Fara Fadila Abd. Razak dari Uniten berkata, aplikasi itu dibangunkannya bersama dua lagi penyelidik iaitu Pengarah Jawhar, Hairolanuar Mohamad dan Pegawai Jawhar, Hafizah Muhamad.

Katanya, GWWMS adalah sistem elektronik yang dibangunkan khas untuk jabatan-jabatan wakaf khususnya di seluruh negara ini untuk membiayai projek-projek tenaga diperbaharui.

“Sistem ini memberi pilihan alternatif bagi membiayai projek-projek tenaga diperbaharui selain memaksimumkan instrumen sukuk. Ia juga dapat memaksimumkan pengurusan sisa yang mana hasil daripada kitar semula bahan buangan boleh disumbang semula kepada projek wakaf terutama yang menyokong projek-projek tenaga diperbaharui.

“Selain itu, sistem ini mampu meyakinkan pewakaf berkaitan proses yang telus diterapkan oleh Jabatan Wakaf dalam menguruskan dana wakaf yang diamanahkan,” katanya di sini semalam.

Siti Fara Fadila berkata, GWWMS menitikberatkan slogan Anytime Everywhere yang mana sistem itu boleh diakses dengan mudah pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Katanya, ia memberi kelebihan kepada termasuk menyahut saranan kerajaan terhadap inisiatif hijau melalui pengurangan kegunaan kertas sehingga menjamin satu jaringan sistem yang kompleks dan mencapai tahap standard yang ditentukan.

“Dari segi nilai novelti, GWWMS dijangka menjadi sistem aplikasi pertama dilaksanakan di Jabatan-Jabatan Wakaf khususnya di seluruh Malaysia sejurus selepas menjadi satu model yang boleh diguna pakai di setiap Jabatan Wakaf seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata, GWWMS juga merupakan sistem wakaf yang pertama merekodkan hasil kitar semula pengurusan sisa sebagai alternatif dana wakaf, transaksi wakaf tunai dan wakaf bukan tunai.

“Sistem ini juga menerima hasil dana kitar semula pengurusan sisa sebagai hasil alternatif dana wakaf selain tunai iaitu berupa tanah, mesin dan peralatan yang diperlukan untuk projek-projek yang diperbaharui. Sebagai contoh, solar panel yang rosak dan boleh dikitar semula dan hasilnya boleh dijadikan dana wakaf.

“Selain hasil dana wakaf tunai, sistem ini merekodkan hasil dana wakaf bukan tunai melalui unit bilangan melalui nilai aset semasa dalam bentuk mata wang. Contohnya, mesin yang diwakafkan untuk Projek Biomas, Jabatan Wakaf akan membuat penilaian terhadap harga dan nilai mesin itu sebelum diterima sebagai transaksi wakaf yang bakal direkodkan,” katanya.

Keunikan sistem itu juga, katanya, boleh dijadikan sebagai bukti utama untuk pelepasan cukai terhadap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang setiap pewakaf boleh mencetak bukti pembayaran bagi setiap transaksi wakaf yang dijalankan.

“GWWMS akan diperkenalkan dan akan dibentang buat julung kalinya pada Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 11 Mei ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya