ALOR SETAR: Tiga lelaki terdiri daripada seorang warganegara tempatan dan dua rakyat Thailand ditahan bersama hampir 30 kilogram (kg) dadah jenis ganja dalam serbuan di sebuah rumah di Kilometer 3, Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kesemua mereka ditahan melalui serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, pada pukul 11.10 malam.
Menurutnya, lelaki tempatan yang ditahan berusia 48 tahun disyaki merupakan tokan dadah, manakala kedua-dua warganegara Thailand berusia 45 dan 34 tahun itu pula dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’.
“Ketika serbuan dijalankan, pihak polis terlebih dulu menahan lelaki warga tempatan tersebut di depan rumah berkenaan. Pemeriksaan lanjut kemudiannya membawa kepada penahanan dua lelaki Thailand di dalam rumah.
“Selepas menjalankan soal siasat, lelaki Thailand berusia 45 tahun itu kemudiannya membawa pihak polis ke kawasan semak di depan rumah dan menunjukkan dua guni yang berwarna kuning diletakkan di situ,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kota Setar, hari ini.
Ahmad Shukri berkata, pemeriksaan dijalankan dalam kedua-dua guni tersebut menemukan 29 ketulan mampat ganja seberat kira-kira 29.8kg yang kesemua dadah itu dipercayai diseludup dari Thailand melalui jalan darat.
“Sekiranya terlepas ke pasaran, ganja yang dianggarkan bernilai RM74,675 itu boleh digunakan kira-kira 130,000 penagih. Selain dadah, pihak polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda dan wang tunai berjumlah RM6,000,” katanya.
Kata beliau, ujian urin dijalankan mendapati ketiga-tiga mereka positif dadah jenis methamphetamine dan tetra hydro cannabinol (THC).
“Lelaki tempatan itu bekerja sebagai pekebun dan rumah serta kenderaan dirampas dipercayai miliknya. Hanya dia memiliki rekod jenayah berkaitan dadah, manakala dua lagi suspek yang berasal dari Satun dan Songkhla tidak memiliki rekod lampau,” katanya.
Katanya, ketiga-tiga lelaki itu direman selama tujuh hari hingga esok dan pihaknya akan memohon mahkamah agar tempoh reman ditambah bagi menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. –UTUSAN