KUALA PERLIS – Cubaan seorang tekong dan dan dua awak-awak tempatan menyeludup diesel bersubsidi ke negara jiran dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis (ZMKP) di perairan Kuala Perlis kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 6.30 petang itu, bot nelayan kelas C tersebut ditahan pada kedudukan lebih kurang 1.2 batu nautika dari barat Kuala Perlis, Perlis ketika bot ronda Maritim Malaysia sedang dalam rondaan Op Aman.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd. Hashim Mat Zain berkata, tangkapan adalah hasil maklumat risikan dan intipan yang dilakukan oleh Unit Risik ZMKP.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, bot terbabit dikendalikan oleh tekong dan dua awak – awak kesemuanya warga tempatan yang berumur dalam lingkungan 39 hingga 52 tahun.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot mendapati, terdapat beberapa unit tong biru berisi air tawar di atas bot dianggarkan sebanyak 20,000 liter dan bot tersebut telah diubahsuai dengan menambah ruang tangki minyak di bahagian belakang bot yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Difahamkan, bot terbabit memiliki kira-kira 250 liter minyak diesel disyaki untuk dibawa keluar ke negara jiran semasa pemeriksaan lanjut dilakukan manakala bekalan air tawar itu dipercayai untuk dipindahkan ke bot lain berdasarkan kuantiti yang besar.
Kata Mohd. Hashim, anggaran nilai keseluruhan rampasan termasuk sebuah bot, air, dan minyak sekitar RM200,800.
“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu Seksyen 8b kerana mengubahsuai tangki minyak tambahan tanpa kebenaran dan melanggar syarat sah lesen.
“Selain itu, kes turut disiasat dibawah Peraturan 18 kerana tidak memiliki kelulusan Pengarah Jabatan Laut membawa kargo iaitu air tawar menggunakan vesel menangkap ikan,” jelasnya.
Bot, hasil tangkapan dan kesemua yang ditahan, tersebut dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Katanya lagi, orang ramai dan persatuan-persatuan nelayan diseru untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan aktiviti penyeludupan yang berlaku bagi membanteras penyeludupan minyak diesel bersubsidi.
Sebarang aduan di perairan Perlis, boleh disalurkan ke talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi ZMKP 04-9851072 atau 04-9851162.-UTUSAN