PUTRAJAYA: Tiada subvarian coronavirus baharu iaitu ‘Kraken’ atau Omicron XBB.1.5 dikesan di Malaysia ketika ini.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang memberitahu, pihaknya kini sedang memantau lanjut terhadap XBB 1.5 itu yang kini menjadi varian paling dominan di Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan negara lain bagi melihat dari segi penularan dan keparahan varian baharu itu.
“Kita masih memantau sama ada XBB 1.5 ada kesannya dari segi keparahan dan penularan, setakat ini ia belum dikesan lagi dalam negara,” katanya.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), XBB.1.5 ialah keturunan subvarian Omicron XBB yang terjadi daripada persilangan antara dua strain terdahulu, BA.2.75 dan BA.2.10.1.
Pakar menggelarkan strain Omicron XBB.1.5 ini dengan nama ‘Kraken’ yang berpotensi mencetuskan gelombang besar Covid-19. WHO dilaporkan sedang membuat penilaian risiko strain XBB.1.5.
Meskipun kehidupan sudah hampir kembali ke keadaan normal selepas dua tahun dalam pandemik, subvarian baharu XBB.1.5 mengancan kemajuan itu.
Strain Kraken ini dipercayai lebih mudah berjangkit dan mampu mengelak daripada perlindungan vaksin dan jangkitan lama, lapor agensi berita news.com.au.
WHO melabelkan strain itu sebagai ‘subvarian paling mudah berjangkit yang pernah dikesan’, dengan XBB.1.5 menjadi punca sebahagian besar jangkitan di AS.
Buat masa ini, ia turut dikesan di Australia, United Kingdom (UK) dan beberapa negara Eropah lain seperti Denmark, Perancis, Jerman dan Sepanyol. Subvarian itu masih belum ditemui di New Zealand.- UTUSAN