HULU TERENGGANU: Sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini memberi rezeki kepada seorang pengusaha kuih bakul apabila menerima tempahan lebih 2,000 biji kuih tradisional masyarakat Tionghoa itu.
Rosidah Muda, 49, dari Kampung Pelam, Kuala Telemong di sini yang juga seorang kakitangan di sebuah sekolah di daerah ini, mula menerima tempahan kuih bakul yang membawa simbol kemakmuran sejak awal bulan ini.
Katanya, kebanyakan tempahan tersebut diterima secara dalam talian selepas membuat promosi jualan kuih bakul itu menerusi media sosial.
Selain itu, katanya, dia menerima tempahan daripada kenalan di sekitar negeri ini.
“Lebih menarik, ramai dalam kalangan pelanggan yang membuat tempahan itu adalah masyarakat Melayu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam..
Rosidah berkata, dia mula menjual kuih bakul yang sinonim dengan pelbagai pantang larang itu sejak lima tahun lalu dan tempahan yang diterima meningkat setiap tahun.
Katanya, sajian tersebut dihasilkan mengikut cita rasa Melayu dengan menggunakan bahan seperti tepung beras pulut, santan debu dan gula.
“Saya belajar membuat kuih bakul melalui YouTube dan beberapa rakan berketurunan Tionghoa.
“Selepas itu, saya mula memasarkan kuih bakul melalui media sosial dan tidak sangka mendapat sambutan walaupun di luar musim perayaan Tahun Baharu Cina,” ujarnya.
Menurutnya, dia dibantu anaknya, Nur Qayyimah Haziqah Halim, 23, untuk menghasilkan kuih bakul selepas waktu kerja dan malam.
Katanya, kuih bakul yang dihasilkan itu dijual pada harga RM10 hingga RM12 sebiji. –UTUSAN