KUALA TERENGGANU : Terengganu bakal mempunyai industri penternakan ayam penelur secara komersial di Setiu yang mampu memenuhi keperluan Kadar Sara Diri (SSR) penduduk di negeri itu dalam tempoh beberapa tahun lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, buat masa ini, sebidang tanah di Setiu seluas 121.5 hektar telah dikenal pasti sesuai untuk tujuan itu.
Katanya, ketika ini terdapat beberapa pelabur yang berminat membuka ladang ternakan ayam penelur di negeri ini.
“Ia adalah ladang ternakan ayam penelur yang pertama di Terengganu kerana sebelum ini kita ada ternakan ayam pedaging sahaja. Antara yang komited ialah sebuah syarikat tempatan yang telah beroperasi di Terengganu dengan ladang ternakan ayam pedaging berskala besar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau program agihan telur yang dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Pusat Operasi dekat Chendering di sini, hari ini.
Usaha itu adalah antara inisiatif MAFS untuk menjamin sekuriti makanan dengan membekalkan telur ayam kepada rakyat secara konsisten melalui outlet-outlet peruncitan FAMA dengan harga yang ditetapkan oleh kerajaan.
Dr. Azman berkata, syarikat itu ada ladang ternakan ayam penelur di negeri lain dan pihaknya akan berbincang lebih terperinci bagi mereka merintis ternakan ayam penelur di Terengganu untuk memenuhi permintaan bekalan di Pantai Timur dan negeri ini.
“Kerajaan negeri juga bersedia dengan kemudahan infrastruktur yang diperlukan untuk industri ayam penelur sebagaimana yang kita sediakan untuk pelaburan dalam sektor pertanian yang lain sebelum ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Azman berkata, setakat ini lebih 340,000 biji telur diagihkan kepada outlet peruncitan FAMA seperti Agrobazaar Rakyat, Agrobazaar Kedai Rakyat, Pasar Tani, Pasar Tani Kekal dan Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran untuk menjamin bekalan telur ayam yang konsisten dan stabil dengan harga yang kompetitif.
“Ini adalah langkah jangka masa pendek dan untuk jangka masa panjang ialah dengan mewujudkan ladang ternakan ayam penelur di Terengganu sendiri,” katanya. – UTUSAN