Tasik Puteri dicemari asid

Tasik Puteri dicemari asid

KEADAAN Tasik Puteri, Bukit Besi, Dungun yang didakwa tercemar dengan bahan asid dari kolam tadahan di tapak perlombongan bijih besi berdekatan. – FOTO/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Tasik Bukit Besi di sini yang kini dikenali sebagai Tasik Puteri didakwa tercemar de­ngan bahan asid apabila air dari kolam tadahan di tapak perlombongan bijih besi mengalir memasuki tasik tersebut.

Kolam tadahan itu dipercayai digunakan untuk membersih bijih besi yang dilombong di bukit berdekatan.

Menurut sumber yang juga se­orang jurulatih penyelam pro­fesional dari Kuala Lumpur kepada Utusan Malaysia, Tasik Puteri yang berkeluasan 131 hektar didakwa tercemar apabila ujian asid yang dilakukannya sendiri menunjukkan bacaan tahap alkali berada pada pH 2.83 pada November lalu.

Katanya, ujian asid di tasik tersebut dilakukan sebelum pi­haknya melakukan aktiviti menyelam di kawasan tasik itu.

Bagaimanapun jelasnya, dia terkejut apabila mendapati tahap asid di tasik itu terlalu tinggi dan tidak selamat untuk aktiviti menyelam.

“Berdasarkan rekod ujian asid yang dilakukan pada sekitar 2021, saya mendapati bacaan tahap alkali di tasik itu cuma pH 5 sahaja.

“Sebelum ini saya dan beberapa rakan sering mengadakan aktiviti menyelam di tasik tersebut kerana kandungan asid masih rendah dan terkawal,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sumber memberitahu, dia bimbang kandungan asid di tasik itu terus meningkat sekiranya aktiviti perlombongan bijih besi di kawasan berdekatan tidak dilakukan pemantauan pihak berkuasa terlibat.

Katanya, air kolam tadahan di tapak lombong bijih besi itu tidak sepatutnya dibiarkan mengalir ke kawasan tasik berkenaan, sebaliknya perlu disalurkan ke lokasi lain bagi memastikan air di tasik itu tidak tercemar.

“Langkah mengawal kualiti air di tasik itu perlu dilakukan segera sebelum keadaan menjadi lebih buruk dan berbahaya,” jelasnya.

Selain itu katanya, pihak ber­kuasa terlibat juga perlu me­lakukan pemeriksaan kandu­ngan asid di tasik itu secara lebih kerap untuk keselamatan pengunjung yang melakukan aktiviti air termasuk mandi di kawasan air terjun.

Tasik Puteri merupakan kawasan bersejarah tinggalan lombong bijih besi yang terbesar di Asia Tenggara pada suatu masa dulu. Ia adalah tasik buatan yang terbentuk dari Sungai Besul yang disekat dan menghasilkan sebuah tasik.

Utusan Malaysia pada 27 September lalu melaporkan aktiviti perlombongan bijih besi di Bukit Besi dekat sini yang didakwa dilakukan secara rakus dibimbangi memusnahkan artifak bersejarah terowong kereta api yang dibina di kawasan tersebut pada 1930.

Setakat ini, kira-kira lima terowong tersebut lenyap sejak aktiviti perlombongan bijih besi dibuka semula di kawasan itu pada 2010 setelah ditutup pada 1971.

Terowong kereta api itu dibina oleh syarikat perlombongan dari Jepun, Kuhara Mining Limited untuk kerja-kerja mengangkut bijih besi ke tempat memproses bahan galian itu yang terdapat di kawasan tersebut sebelum dieksport ke beberapa buah negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya