MELAKA: Kehadiran seekor tapir yang berkeliaran di aras lima tempat meletak kenderaan sebuah hotel mewah di Banda Hilir di sini, mencemaskan kakitangan dan pelanggan premis berkenaan.
Difahamkan kelibat haiwan yang dipercayai sesat itu mula dikesan orang awam kira-kira pukul 9.04 pagi tadi.
Komander operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah, Pegawai Bomba Kanan II Sofian Hassan berkata, tapir berkenaan dipercayai masuk ke tempat tersebut melalui laluan masuk kenderaan dan kemudiannya sesat tidak dapat mencari jalan keluar.
Jelasnya, pihaknya mengalami sedikit kesukaran menangkapnya berikutan haiwan itu bertindak agresif.
“Seramai lapan anggota dari BBP Melaka Tengah bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati haiwan itu berkeliaran di kawasan terbabit.
“Bomba meminta bantuan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri dan berjaya menangkap tapir itu.
“Kita percaya haiwan berkenaan dipercayai masuk ke tempat parkir itu melalui jalan masuk kereta dan sesat untuk keluar semula dari bangunan terbabit,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Sofian, Perhilitan juga terpaksa menggunakan bius untuk melemahkan tapir berkenaan bagi memudahkan kerja-kerja pemindahan haiwan liar tersebut.
“Tapir telah berjaya diangkat dan dialihkan pada pukul 2.30 petang tadi. Haiwan tersebut telah diserahkan kepada Perhilitan untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengarah Perhilitan Melaka, Mohd. Firdhaus Mahmood berkata, pihaknya mendapat aduan awam dan telah mengesan kehadiran tapir seberat lebih 250 kilogram itu sejak dua minggu lalu.
“Sebelum ini kita memang telah mengesan kehadiran tapir ini dan pasukan dalam keadaan bersiap siaga untuk menyelamatkannya.
“Pada pagi ini kita menerima panggilan daripada bomba dan terus ke lokasi bagi menjalankan operasi penyelamatan menggunakan pelali,” katanya. – UTUSAN