SETIU: Penduduk di Kampung Bari Kecil di sini bimbang tanah perkuburan Islam berusia lebih 120 tahun di kampung itu bakal lenyap ekoran hakisan pantai yang semakin teruk sejak enam tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Abu Bakar Omar, 41, berkata, tiga projek menahan hakisan bernilai lebih RM700,000 yang dilaksanakan sejak 2020 didapati gagal menyelesaikan isu tersebut.
Menurutnya, hakisan akibat fenomena air pasang besar setiap kali Monsun Timur Laut menyebabkan jarak kubur lama itu semakin dekat dengan pantai iaitu kurang 20 meter.
“Laut bergelora sejak sekian lama mengakibatkan wakaf dan tandas awam 200 meter dari tanah perkuburan juga runtuh akibat hakisan dan kubur paling hampir berjarak dua meter dari pantai.
“Langkah meletakkan guni, batu sangkar dan tambunan pasir di sepanjang 300 meter gagal menghalang kejadian hakisan,” katanya ketika ditemui di sini.
Jelasnya, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) telah memberi kebenaran mengalihkan jenazah ke tapak perkuburan baharu namun penduduk berdepan kekangan kos.
Katanya, penduduk kampung perlu menanggung sendiri kos mengalihkan jenazah waris masing-masing yang menelan belanja RM2,000 setiap jenazah.
“Terdapat 410 kubur di tanah perkuburan ini dengan 150 daripadanya berisiko diancam hakisan pantai kerana jarak semakin dekat dengan pantai,” jelasnya.
Pengerusi Masjid Kampung Bari Kecil, Mohamad Sabri Mohamad, 70, berkata, masalah hakisan berlaku setiap kali musim monsun melanda Pantai Bari Kecil saban tahun.
Jelasnya, kejadian air pasang besar tiga hari lalu menyebabkan jalan sepanjang lebih 300 meter di belakang tanah perkuburan tersebut runtuh dan puluhan pokok ru tumbang. – UTUSAN