Tambak laut; PenMutiara tetap tolak tawaran ex-gratia, bantuan bot - Utusan Malaysia

Tambak laut; PenMutiara tetap tolak tawaran ex-gratia, bantuan bot

IBRAHIM Che Rose (dua dari kiri) dalam sidang akhbar mengenai pendirian PenMutiara yang tetap menolak tawaran ex-gratia dan bantuan bot beserta enjin untuk pelaksanaan PSI di Batu Maung, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN LEPAS: Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PenMutiara) tetap dengan pendirian menolak segala tawaran bayaran ex-gratia dan bantuan bot beserta enjin kepada nelayan tahap satu dan dua daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan SRS Consortium Sdn. Bhd. bagi pelaksanaan Penang South Island (PSI).

Pengerusi PenMutiara, Ibrahim Che Rose berkata, pihaknya berpendapat tawaran tersebut adalah ‘berniat tidak baik’ dan bertujuan mengelirukan nelayan serta memecah-belahkan ahli Persatuan Nelayan Kawasan Pulau Pinang Selatan (PNKPPS) yang sejak awal telah menolak projek PSI.

”Kami mengutuk percubaan kerajaan negeri dan SRS Consortium untuk memecah-belahkan nelayan secara mengelirukan mereka dengan tawaran sebegini.

”Kami sekali lagi menegaskan menolak segala tawaran kerajaan negeri dan SRS Consortium serta berpendirian teguh tidak akan menerima projek PSI ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kerajaan negeri Pulau Pinang menerusi Skim Sosial Impact Management Plan (SIMP) menawarkan bayaran ex-gratia dan bantuan bot serta enjin kepada nelayan yang bakal terkesan dengan projek PSI.

Nelayan tahap satu dan dua di kawasan yang bakal dibangunkan PSI ditawarkan bayaran ex-gratia berjumlah antara RM20,000 hingga RM5,400 serta bantuan bot dan enjin serta pembinaan jeti nelayan lengkap bersama kemudahan, program pendidikan dan lain-lain.

Dakwa Ibrahim, usaha kerajaan negeri menerusi tawaran sebegitu bertujuan mempengaruhi proses penilaian Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang sedang dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk membuktikan masalah nelayan sudah diselesaikan.

”Selain itu, tawaran tersebut tidak mengambil kira kerosakan sumber perikanan di kawasan tambak laut yang merupakan ekosistem sensitif dan tidak boleh digantikan buat selama-lamanya.

”Apa gunanya bot-bot besar diberikan kepada nelayan sekiranya sumber perikanan berkurangan akibat projek PSI ini,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga telah menghantar surat rasmi untuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memohon bantuan supaya projek PSI itu dibatalkan.

“Kami hanya menunggu masa untuk berjumpa dengan Anwar bagi berbincang mengenai projek ini dan pendirian kami tetap sama yang mana PSI harus dibatalkan.

”Perdana Menteri sebelum ini menyatakan projek-projek mega seperti PSI harus dibatalkan bagi melindungi sumber dan kami berharap beliau akan menunaikan janji,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya