BAGI pengacara dan pelakon popular, Elly Mazlein, seseorang artis tidak perlu menjadi toksik dengan menjatuhkan orang lain, sedangkan masing-masing berusaha untuk mencari rezeki.
Jelas Elly yang mesra disapa Kak Lina, individu yang cemburu dengan kejayaan orang lain tidak sepatutnya memecah-belahkan kumpulan penyokong mana-mana artis dan berperangai seperti kebudak-budakkan.
“Perangai sebegitu memang wujud dalam industri. Tetapi, tidak perlu kita jadi toksik. Jadi matang dan percaya kepada rezeki. Untuk meraih apa juga kejayaan, kita perlu tahu usaha dan pengorbanan seseorang.
“Saya ini tidak hebat mana, malah tidak pernah rangkul apa-apa anugerah. Saya anggap diri masih hijau dan sentiasa dalam proses memperbaiki diri. Tidak perlu cemburu atau dengki dengan pencapaian saya.
“Kenapa tidak kita saling menyokong? Ada juga yang suka menyindir dan berniat menjatuhkan. Tidak seronok begitu. Pendapat kalau disulam niat tidak baik, boleh jatuh fitnah. Lagipun, industri seni kita kecil, lambat-laun akan bertemu juga,” katanya.
Pernah berhadapan situasi itu, Kak Lina berkata, dia tidak pernah menganggap persaingan sebagai alasan untuk menjatuhkan mana-mana pihak, apatah lagi menyebarkan keburukan orang lain.
“Saya bekerja menghiburkan orang tanpa perlu menjatuhkan sesiapa. Saya mahu sesiapa yang bekerja dengan saya selesa dan mampu menyinar bersama-sama. Saya sudah kerja dengan ramai orang, Alhamdulillah, tiada masalah.
“Mana-mana yang tidak suka atau kurang senang dengan saya, sudah-sudahlah. Rezeki Tuhan beri. Kita masing-masing ada pintu rezeki yang sudah tertulis,” katanya.