Tak perlu bandingkan siapa nyanyi lebih baik - Ainan Tasneem - Utusan Malaysia

Tak perlu bandingkan siapa nyanyi lebih baik – Ainan Tasneem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ainan Tasneem, 31, menganggap dia tiada hak untuk melarang mana-mana penyanyi merakamkan semula lagu 150 Juta kerana karya tersebut bukan miliknya.

Jelas Ainan, meskipun pernah dikenali sebagai penyanyi lagu itu sekitar 10 tahun lalu, karya ciptaan Fynn Jamal itu telah dibeli syarikat rakaman, MVM Music dan Rusa Music.

“Tiada masalah untuk sesiapa sahaja menyanyikan lagu tersebut sebab ia bukan lagu saya. Pihak label mempunyai hak memberikan lagu itu kepada mana-mana penyanyi pilihan mereka untuk dinyanyikan semula.

“Terus-terang, saya tiada masalah dan apabila dengar artis lain menyanyikan semula dengan susunan muzik baru, saya rasa sedap sahaja. Susunan baharu itu kedengaran ‘cute’,” katanya.

Ainan bagaimanapun, tidak bersetuju apabila pendengar dan peminat berbalah, malah turut membandingkan cara setiap penyanyi membawakan lagu tersebut.

Katanya, komen berbaur kecaman seperti itu tidak perlu.

“Tidak perlu bandingkan siapa nyanyi lebih baik sebab versi baru lagu itu juga ada keistimewaannya. Ketika saya nyanyikan lagu itu dahulu teruk juga dikecam, terutama apabila peminat tahu itu lagu Fynn Jamal.

“Ramai kata saya tidak sesuai bawa lagu itu, hanya Fynn yang serasi menyanyikannya dan macam-macam lagi. Saya terima sahaja.

“Tetapi, peminat perlu tahu, setiap penyanyi yang membawakan sesuatu lagu mahu mesej dalam karya tersebut sampai kepada pendengar.

“Kalau ada yang dengar dan berasakan lagu itu dekat dengan kehidupan mereka, bagi saya, itu adalah kejayaan,” katanya.

Ainan, pada masa sama, mengakui gembira apabila ramai yang mula kembali mendengar lagu nyanyiannya itu di YouTube.

“Gembira juga apabila ada yang tidak pernah dengar lagu itu sebelum ini akhirnya suka apabila ia popular semula, termasuk di TikTok. Sama juga dengan lagu versi baru.

“Kita sudah memasuki 2023, harap kita sentiasa sebarkan dan bercakap perkara yang baik.

“Kalau suka lagu itu, sokonglah mereka. Kalau kurang gemar, diam sahaja sebab ada orang lain yang suka. Tidak perlu gaduh-gaduh,” katanya.

Terdahulu, lagu 150 juta menjadi topik perdebatan netizen di media sosial apabila dinyanyikan semula tiga artis BBNU, Aidilia Hilda, Bibi Qairina dan Qistina Khaled.

Lagu versi baru tersebut dilancarkan Rusa Entertainment sejak tiga hari lalu di YouTube, selain turut popular di TikTok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya