KANGAR: Menjelang sambutan perayaan Tahun Baharu Cina Ahad ini, perkhidmatan feri di sini ke Pulau Langkawi mendapat sambutan memberangsangkan dengan tiket ke pulau peranginan tersebut dari terminal Kuala Perlis habis ditempah sehingga Isnin ini.
Walaupun perkhidmatan tersebut sering dibelenggu masalah alur pelayaran yang cetek, namun pelancong tetap memilih opsyen untuk menaiki feri ke pulau itu pada musim cuti perayaan ini.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd, Kapten Baharin Baharom berkata, hampir 8,000 tiket feri dari Terminal Kuala Perlis terjual bagi tempoh bermula semalam sehingga Isnin.
“Bagi tempoh empat hari ini juga, kami menyediakan kekerapan feri antara empat ke lima kali sehari dari Terminal Kuala Perlis ke Pulau Langkawi bagi memudahkan pengunjung untuk bercuti ke sana.
“Walaupun berdepan isu alur pelayaran yang cetek di Terminal Kuala Perlis, kami cuba memenuhi permintaan pelancong dengan menyediakan sebanyak mungkin feri ke Pulau Langkawi pada musim perayaan ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Baharin berkata, pihak operator juga akan menambah perkhidmatan feri sehingga pukul 8 malam pada musim perayaan Tahun Baharu Cina ini sekiranya terdapat keperluan bagi tujuan itu.
Namun begitu, beliau berkata, perkara itu juga tertakluk atas kelulusan Jabatan Laut Malaysia (JLM) menerusi permohonan yang dibuat bagi penambahan perkhidmatan tersebut pada hari-hari tertentu.
“Kita juga nasihatkan setiap penumpang agar dapat membuat pembelian terus tiket pergi dan balik secara dalam talian bagi mengelakkan kesulitan sewaktu menggunakan perkhidmatan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Baharin berkata, kerja-kerja pengerukan alur pelayaran cetek di Terminal Kuala Perlis kini giat dilaksanakan dan dijangka siap Mei ini.
Katanya, perkhidmatan feri di terminal itu juga dijangka akan kembali pulih seperti biasa selepas kerja pengerukan itu selesai khususnya bagi menampung permintaan pelancong menjelang penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LlMA 23) pada 23-27 Mei nanti.
“Buat masa ini, kami terpaksa menanti sehingga kerja-kerja pengerukan ini selesai sebelum memutuskan untuk menambah jumlah feri buat pengunjung.
“Pihak kami tidak mahu mengambil risiko kerana sekiranya pengguna terkandas, operator feri perlu menanggung kerugian besar melibatkan pelbagai kos,” katanya.-UTUSAN