PETALING JAYA: Energy Absolute (EA), sebuah syarikat peneraju tenaga boleh baharu dan terkemuka dalam industri teknologi hijau di Thailand mahu meneroka pasaran Malaysia terutama berkaitan sektor teknologi hijau.
Perkara itu dikongsikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook beliau, selepas menerima kunjungan delegasi dari Thailand pagi ini yang diketuai Somphote Ahunai mewakili Energy Absolute Malaysia Sdn. Bhd.
Justeru, beliau berkata, sebagai anggota Komuniti Ekonomi ASEAN, dengan budaya dan warisan yang hampir sama, hubungan antara Malaysia dan Thailand terus kukuh dengan semangat kejiranan yang tinggi menerusi kerjasama di pelbagai lapangan yang relevan.
“Syarikat EA yang mempunyai kekuatan modal pasaran sebanyak 380 bilion baht bersamaan RM45 bilion ingin meneroka pasaran Malaysia berlandaskan prinsip-prinsip seperti mendukung, melabur dan mengangkat projek pemicu (pilot project) yang akan berkolaborasi dengan Computer Forms Malaysia Berhad (CFM) untuk membangunkan industri teknologi hijau di Malaysia.
“Selain itu, pemindahan teknologi kenderaan elektrik (EV) ke Malaysia, membina kilang pembuatan dan bekalan EV, khususnya dalam sektor pengangkutan seperti bas elektrik, bas sekolah elektrik, bot elektrik, motosikal elektrik, bateri EV, kereta api elektrik, kereta mobil elektrik dan lain-lain dengan nilai RM5 billion,” katanya, hari ini.
Pada 29 September lepas, media melaporkan, CFM dan syarikat berpangkalan di Thailand, Energy Absolute Public Company Ltd memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan menubuhkan syarikat usaha sama (JV) untuk mempromosi, mengeluar dan mengedar produk tenaga boleh baharu (RE) di Malaysia.
Menerusi MoU itu, Energy Absolute melabur RM5 bilion untuk membangunkan kemudahan penyimpanan tenaga dan platform pengecasan serta pengeluaran bateri litium-ion untuk menyokong ekosistem sektor EV di negara ini. – UTUSAN