Syaidatul Afifah buka akademi boling

Syaidatul Afifah buka akademi boling

SYAIDATUL Afifah menubuhkan akademi khas bagi melatih generasi baru yang berpotensi serta berbakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biarpun sudah bersara pada September 2020, sukan boling tidak dapat dipisahkan dengan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan buktinya, bekas pemain kebangsaan itu kini menubuhkan akademi, khas bagi melatih generasi baru yang berpotensi serta berbakat.

Akademi Syaidatul Afifah (A.S.A) yang juga merupakan akademi boling pertama di Malaysia untuk kanak-kanak dan remaja telah membuka penyertaan sejak sebulan lalu dan hanya memilih 15 pemain sahaja, berumur dari 7 hingga 15 tahun bagi mengikuti latihan di bawah kendaliannya untuk jangka masa tiga hingga sembilan bulan.

Bercerita lanjut mengenai projek tersebut, Afifah, 31, menegaskan penubuhan akademi ini merupakan impiannya sejak bersara tiga tahun lalu bagi menghasilkan lebih ramai pemain boling bertaraf profesional.

Lebih menarik, bekas atlet yang berasal dari Perak itu turut melengkapkan platform yang dibinanya ini dengan silibus yang terdiri daripada teori, persediaan sebelum bermain, praktikal (bagi pemula, amatur dan cemerlang), penilaian prestasi serta sesi motivasi.

“Kita akan beri motivasi kepada mereka, bukan saja main boling, tetapi juga kelas pemakanan, kita akan buat latihan kecergasan supaya sejak kecil lagi mereka dididik untuk menjadi atlet bertaraf profesional.

“Pelajar yang terpilih akan melalui beberapa fasa. Pertama mengenai asas boling. Fasa kedua pula lebih maju dan kita akan ajar mereka full step (langkah penuh) untuk menjadi pemain boling. Fasa ketiga, kita akan menilai yang layak sahaja untuk dibenarkan bertanding dalam mana-mana kejohanan kelak,” katanya.

Jelas pemenang pingat emas Sukan SEA 2017 itu, setiap pelajar yang terpilih sehingga ke fasa ketiga akan berpeluang mewakili negeri masing-masing untuk bertanding di peringkat kebangsaan, termasuk kejohanan sirkit remaja yang mewakili A.S.A.

Afifah yang mula bermain boling sejak berumur 9 tahun turut menegaskan bahawa penubuhan akademi ini adalah bagi memberi ruang kepada kanak-kanak dan remaja menimpa pengalaman yang telah dilaluinya sebagai atlet negara satu masa dulu.

“Apa yang saya nak, mereka belajar sama seperti yang saya belajar. Macam mana saya bermula dengan 9 tahun, sama seperti mereka, ibu ayah yang bawa ke pusat boling. Apa yang saya ajar di ASA adalah sedikit sebanyak mengenai perjalanan saya (sebagai atlet) iaitu cara saya belajar kerana boling ada terlalu banyak perkara asas, bukan sekadar baling bola semata-mata,” katanya.

ASA yang mendapat kerjasama dari Sunway Megalanes, Petaling Jaya akan menjalankan latihan sepenuhnya di sini selepas melakukan saringan dan pemilihan pelajar selama dua hari.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya