SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan masyarakat supaya berjimat cermat menguruskan ekonomi dan gaya hidup dalam prospek ekonomi dunia yang membimbangkan pada 2023.
Baginda bertitah, semua pihak perlu bekerjasama membina kembali negara ini dalam semua aspek termasuk sosial, politik dan ekonomi.
“Pada tahun baharu ini, rakyat diharap terus mengutamakan keamanan dan keharmonian selain mengelak isu sensitif yang boleh memudaratkan ikatan perpaduan kaum. Beta sentiasa mendoakan agar sekalian rakyat sentiasa berada di dalam perlindungan Allah,” titah Sultan Selangor.
Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan menzahirkan perutusan itu sempena sambutan Tahun Baru.
Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut mendoakan 2023 akan membawa sinar baharu yang lebih gemilang dan cemerlang untuk semua kelompok rakyat.
Malah, baginda menyeru masyarakat mengenepikan fahaman politik dan perbezaan luaran dalam usaha mengatasi permasalahan dan cabaran yang sedang didepani ketika ini.
“Beta tidak mahu ada lagi golongan khususnya ahli politik bertelagah dan mementingkan kepentingan peribadi sehingga mengabaikan tanggungjawab berkhidmat kepada rakyat. Less talk, more action,” titah baginda lagi. – UTUSAN