Suara Terrer untuk lelaki - Utusan Malaysia

Suara Terrer untuk lelaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANYAK perubahan untuk Malaysia apabila kali pertama kerajaan beralih dalam pilihan raya pada 2018. 

Ada keterbukaan dalam kalangan media, parti politik rasa terancam dan bual polisi makin popular dalam kalangan rakyat. 

Satu lagi impak peristiwa PRU14 ialah kewujudan sebuah kugiran bernama Terrer. Penubuhan mereka diinspirasikan daripada PRU14. 

“Bila kami sebut tentang PRU14, ia tentang perasaan perubahan atau tenaga baharu yang kami rasa. Itu kali pertama kita tukar kerajaan,” kata Faiq. 

Ia disambut Azlan dengan nada sama. Ada semangat perubahan yang turun dari puncak eksekutif ke lapangan marhaen. 

“Ada slogan seperti Malaysia Baharu. Semua orang ada semangat itu, yang datang dari pak cik Grab, mak cik nasi lemak. 

“Kami serap semangat itu dan rasakan perubahannya. Itu yang melonjakkan semangat kami untuk mulakan kugiran ini,” katanya. 

Kewujudan Terrer mula mendapat perhatian apabila mereka melancarkan video muzik Hang Loklaq, kira-kira setahun tahun lalu.

Visual dan lirik yang radikal menerima banyak reaksi. Ada suka, ada tidak suka. Ada yang mahu mereka berjaya, ada yang nak lihat mereka melingkup.

Tapi Terrer terus hidup dan November lalu, mereka melancarkan EP sulung berjudul Kaum Lelaki. EP itu boleh didengari di platform digital dan versi fizikalnya dijual di Teenage Head Records, Subang Jaya. 

ALASAN WUJUD 

Motivasi utama penubuhan Terrer, bagi Azlan secara peribadi, adalah untuk meluaskan potensi sendiri. 

Berpengalaman bersama beberapa kugiran lain sebelum ini, Azlan mahu terus cabar diri. Namun, ia tidak menafikan juga agenda lain dalam penubuhan mereka. 

“Kalau kita lihat landskap muzik dan lagu-lagu Indonesia, sebagai rakyat, mereka boleh rasa kaitannya dengan hidup. 

“Kami juga ingin mewujudkan sesuatu yang begitu. Contohnya, untuk kawan-kawan yang berhijrah ke luar negara. Nak ada rasa Malaysiana. Bila dengar, mereka rasa ada kaitan,” jelas Azlan. 

“Tak kira bagaimana unik atau eksperimentalnya muzik, kami mahu ada rasa Malaysiana itu,” celah Arman. 

Terrer juga ada hasrat untuk meletakkan ‘suara’ dalam karya mereka. Maksudnya, mereka mahu sampaikan sesuatu kepada pendengar. Ada orang akan kata itu mesej tapi bagi mereka, itu hanya suara. 

“Kami nak menyuarakan yang Melayu ada banyak spektrum. Bukan satu cara sahaja kita boleh jadi Melayu. 

“Bagi aku, itu bukanlah faktor utama penubuhan Terrer, yang penting sentimen dalam lagu yang kami keluarkan perlu jujur,” kata Faiq. 

MENJADI LELAKI 

Lagu-lagu dalam EP Kaum Lelaki banyak menyentuh isu maskuliniti toksik. Tentang lelaki yang tidak dibenarkan beremosi, sebaliknya digalakkan menjadi kasar dan dingin. 

“Tema ini yang mengikat kami pada awal dulu. Waktu itu belum tahu arah muzik dan sebagainya, tetapi apabila menyampaikan idea ini, kami nak buat sebab kami juga alami benda sama,” kata Azlan. 

Hang Loklaq sangat jelas mengkritik sikap sebahagian lelaki yang menjadi polis aurat dalam media sosial, tetapi nafsu sendiri pun tidak mampu dijaga. 

Ketelusan mereka mengecam sikap sebegini disenangi ramai, lebih-lebih lagi kerana lagu itu dinyanyikan dalam loghat Utara. Irama punk yang diadun dialek buatkan mereka dilihat seperti meniru No Good, namun Helmi ada penjelasan yang tuntas. 

“Sepenuhnya kebetulan dan ia hanya satu lagu,” katanya. 

Sebenarnya, Hang Loklaq sudah ditulis lama, sejak 2018. Malah, penggambaran video muziknya juga dilakukan pada Oktober 2019. Cuma, pandemik menyebabkan ia lambat dilancarkan. 

Menurut Arman, Terrer dan No Good datang dari lingkaran rakan dan generasi muzik yang sama. 

“Aku pernah bekerja dengan mereka (No Good) dan kami selalu berbual tentang cara nak menjadikan muzik alternatif ini lebih tempatan. Waktu dulu, banyak ambil contoh dari kugiran Barat. 

“Dari dulu lagi kita dah bersembang tentang memasukkan dialek dalam lagu. (Idea) ini dah lama,” katanya. 

TEROKA PEKAN KECIL 

Terrer fikir 2023 adalah tahun untuk menerbitkan album, tapi mereka tidak berani berjanji. Apa yang pasti, akan ada beberapa festival yang menampilkan mereka dan akan ada lagu baharu dilancarkan nanti. 

Satu lagi rancangan Terrer untuk tahun ini adalah mengadakan jelajah ke seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak. Impian mereka adalah untuk beraksi di pekan-pekan kecil, mengadakan persembahan yang intim bersama peminat. 

“Jujurnya, kami bukan anak orang kaya. Tiada duit atau dana. Untuk EP ini, jelajahnya DIY. Untuk album, kalau dapat dana, mungkin boleh buat yang lebih baik,” kata Azlan. 

Ikuti perkembangan Terrer di Instagram. Cari @terrerdoh dan tekan follow. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya