LIPIS: Bagi Tahir Al Tipah, 58, isterinya, Faridah Ishak merupakan insan cukup disayangi sehingga sanggup berkorban sepenuh masa menjaga wanita itu yang menderita strok di Kampung Sentang, Pagar Sasak di sini.
Bukan sahaja isterinya menderita sakit, Tahir juga berdepan nasib serupa apabila menghidap kanser tekak sejak empat tahun lalu sehingga menyebabkannya tidak boleh bercakap.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, kakak iparnya, Siti Hapesah Ishak, 73, berkata, akibat sakit kanser tersebut, Tahir tidak mampu lagi bekerja malah tambah membebankan keluarga itu apabila Faridah menghidap strok tidak lama kemudian.
“Dalam kesusahan ini, Tahir berulang-alik ke hospital membuat rawatan, tetapi keadaan penyakit terus membimbangkan sehinggalah dia mengalami kehilangan suara dan tidak berselera makan.
“Pada mulanya adik saya (Faridah) alami strok kecil dan bertambah berat sehingga terlantar di katil dan tidak boleh bangun,” katanya.
Menurut Siti Hapesah, Tahir tiada pendapatan sejak menderita penyakit tersebut kerana tidak mampu bekerja lagipun perlu menjaga isterinya sepenuh masa.
“Isteri Tahir yang juga berusia 58 tahun cuma mampu minum susu khas dengan harga yang mahal ditambah keperluan peralatan diri seperti lampin pakai buang yang keseluruhannya sebanyak RM1,800 sebulan.
“Walaupun mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan, tetapi tidak mencukupi,” katanya.
Katanya, pasangan itu mempunyai dua orang anak yang masih bersekolah.
Orang ramai yang ingin menyumbang bantuan boleh menghubungi anak saudara pasangan itu, 0179510827 (Nor Rosnani Ahmad Mustaffar) atau terus ke akaun Bank Simpanan Nasional, Faridah Ishak bernombor 0600641000050062. – UTUSAN