Status staf kontrak ada risiko, perlu dikaji balik

Status staf kontrak ada risiko, perlu dikaji balik

ABDULLAH Sani Abdul Hamid (empat kanan) menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin (empat dari kiri) berhubung pekerja kontrak LHDN di Dataran Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak kerajaan perlu menilai semula tempoh maksimum pekerja kontrak kerana sebahagian besar akan dibuang begitu sahaja sebelum cukup masa ditetapkan.

Perkara itu disuarakan bekas pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid yang bimbang dengan trend pada ketika ini.

Menurut beliau, ramai mungkin tidak tahu, tempoh maksimum staf bertaraf kontrak hanyalah 15 tahun dan selepas itu mereka wajib diserapkan sebagai pekerja berstatus tetap pula.

Kejahilan pengetahuan mengenai hak undang-undang buruh itu ujar beliau, menyebabkan mereka akan ditamatkan perkhidmatan oleh majikan sebelum cukup masa maksimum itu.

Terdahulu, beliau hadir menyerahkan surat ‘Rayuan Untuk Sesuap Nasi’ terus kepada Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin di sini susulan penamatan seramai 958 petugas kontrak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada 31 Disember lalu selepas rundingan terakhir pihak kesatuannya gagal.

Mengulas lanjut, Abdullah Sani berpendapat, jika seseorang pekerja bertaraf sementara sudah berkhidmat tanpa ada masalah disiplin lebih lima tahun, ia patut dijadikan stat tetap.

“Saya pernah bangkit isu ini di Parlimen sebab ada pengalaman semasa di MTUC lalu yang menunjukkan ramai pekerja kontrak dibuang waima telah 10 tahun bekerja,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Kuala Langat itu malah dalam nada jujur berkata, staf sementara itu jauh lebih baik dan banyak pengalaman serta tidak perlu dilatih berbanding pekerja tetap.

Malangnya ujar beliau agak kesal, mereka kelazimannya akan dibuang sebelum cukup tempoh 15 tahun itu kerana majikan cuba mengelak mahu diserap menjadi pekerja tetap.

Beliau memberi contoh apa yang berlaku di LHDN apabila ada yang sudah bertugas lebih 18 tahun langsung tidak diubah status kepada tetap namun pekerja baharu pula diambil.

Situasi itu mengakibatkan berlaku ketidakadilan kepada staf kontrak yang setia berdisiplin untuk majikan mereka tanpa jemu meskipun tiada hak keistimewaan seperti pekerja tetap.

Senario yang terjadi di LHDN sewajarnya dijadikan iktibar kerana beliau cukup bersimpati dengan nasib staf kontrak itu yang bekerja teruk tanpa ada cuti tahunan dan cuti sakit.

“Insya-Allah saya sebagai Pengerusi Biro Pekerja PKR akan membawa isu ini terus kepada presiden ketika mesyuarat parti agar dapat diperjuangkan pula di Parlimen,” tegasnya.

Langkah itu jelasnya, dijangka melibatkan pindaan kepada Akta Kerja 1955 dengan terma tempoh maksimum ditambah baik mungkin lebih pendek untuk membela nasib pekerja.

Pada masa sama, undang-undang buruh itu mungkin boleh ditambah baik dengan terma petugas yang tiada isu disiplin perlu diutamakan majikan untuk diserap sebagai tetap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya