JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam negeri ini menumpaskan kegiatan sindiket penyeludupan arak yang dianggarkan berjumlah RM1.85 juta dalam dua serbuan berasingan di Ulu Tiram dan Pasir Gudang, di sini.
Pengarahnya, Misbahudin Parmin berkata, dalam kes pertama, sindiket terbabit menyeludup minuman keras itu dengan meletakkannya dalam kotak minuman jus epal bagi mengaburi pihak berkuasa.
Namun, perbuatan itu berjaya dibongkar sepasukan anggota daripada Bahagian Penguatkuasaan Pasir Gudang yang menjalankan pemeriksaan ke atas tiga buah kontena di Pelabuhan Johor, Pasir Gudang pada 30 November lalu.
“Hasil pemeriksaan ke atas dokumen pengikraran muatan mendapati bahan dagangan telah diikrar sebagai jus epal berkarbonat. Pemeriksaan lanjut yang dijalankan ke atas tiga kontena itu bersama pasukan risikan Zon Selatan dan wakil syarikat penghantaran mendapati 40 peratus daripada barangan dagangan itu adalah minuman keras yang disorokkan dalam kotak minuman berkarbonat.
“Modus operandi sindiket penyeludupan ini adalah dengan membuat pengikraran palsu. Kesemua karton arak itu tidak diikrarkan dalam muatan dagangan yang dianggarkan bernilai RM1.742 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam Johor, di sini hari ini.
Menurutnya, minuman keras itu dipercayai diseludup masuk dari China dan kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 135(1)(a) akta yang sama.
Dalam kes berasingan, Misbahudin memberitahu, pihaknya turut membongkar satu lagi kegiatan penyeludupan minuman keras dengan melakukan serbuan ke sebuah rumah teres dua tingkat di Desa Cemerlang, Ulu Tiram pada 1 Januari lalu.
Dalam serbuan itu, pihaknya menahan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 34 tahun dan merampas sejumlah minuman keras pelbagai jenama yang tidak bercukai bernilai RM103,400.
“Modus operandi sindiket penyeludupan ini dengan menjadikan kediaman itu sebagai tempat penyimpanan. Arak itu dipercayai diperoleh dari pasaran tempatan dan luar negara sebelum diedar ke pasaran setempat,” katanya sambil memberitahu kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan turut disiasat di bawah Seksyen 74(1)(c) Akta Eksais 1976.
Sementara itu, pihaknya juga berjaya membongkar kegiatan sindiket penyeludupan yang menyorokkan sebanyak 764,000 batang rokok pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM1.27 juta termasuk cukai di ladang kelapa sawit Kampung Pogoh Tengah, Segamat pada 1 Januari lalu.
“Modus operandi sindiket ini adalah menyeludup rokok keretek yang dibawa masuk dari Indonesia dan disimpan sementara di kawasan itu sebelum diedar ke pasaran .Sindiket ini menjadikan ladang kelapa sawit sebagai tempat simpanan sementara bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya sambil memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. – UTUSAN