SOP nadir bumi lambat dorong kecurian berlaku - Sanusi

SOP nadir bumi lambat dorong kecurian berlaku – Sanusi

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (tengah) bersama-sama Pengarah Urusan Jangka Bakat Minerals, Datuk Liana Khalid (kiri), Ketua Pegawai Eksekutif MBI Kedah, Muhamad Sobri Osman (dua kiri) dan Pengurus Besar Xiamen Tungsten, Liu Wenli (dua kanan) selepas Majlis Menandatangani MoU REE antara ketiga-tiga pihak di Wisma Darul Aman, Alor Setar. -UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan kelewatan menyediakan prosedur standard operasi (SOP) berkaitan pengekstrakan elemen nadir bumi (REE) mendatangkan kerugian kepada negara dan negeri yang memiliki mineral itu.

Malah, beliau menegaskan ketiadaan garis panduan berkaitan juga berkemungkinan mendorong pihak tidak bertanggungjawab mengekstrak REE secara haram seperti yang berlaku di beberapa tempat termasuk Hutan Simpan Bukit Enggang di Sik, dekat sini tahun lalu.

“Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim dalam (mesyuarat) Majlis Tanah Negara (MTN) suruh kita tunggu SOP dikeluarkan, tapi sampai sekarang belum terima SOP. Oleh kerana ‘barang’ ini dapat permintaan tinggi dengan nilai amat baik, maka orang tak dapat tunggu lama-lama.

“Jadi mereka bawa keluar tanpa isytihar ianya sebagai REE bagi mengaburi pihak berkuasa. Dalam pengamatan saya, mineral REE ini bukan sahaja dikeluarkan di beberapa lokasi di Kedah, malah turut dikeluarkan di beberapa lokasi di negeri-negeri lain secara haram.

“Saya dah lama cakap perkara ini tetapi oleh kerana mereka ini ‘mak ngot’ (terlalu perlahan), ralit atau sebenarnya tak tahu bagaimana nak buat SOP yang sepatutnya supaya negeri-negeri dapat maksimumkan kegiatan perlombongan dan hasil, maka pihak lain bergerak tanpa SOP tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah) bersama Jangka Bakat Minerals Sdn. Bhd. dan Xiamen Tungsten Co. Ltd. dari China yang bakal menyaksikan perkongsian maklumat, pengalaman dan kepakaran bagi penerokaan REE di negeri ini.

Kata Muhammad Sanusi, bagi memastikan kegiatan itu dilaksana mengikut undang-undang, jabatan terlibat di Kedah khususnya Pejabat Tanah dan Galian (PTG); Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Sekitar sentiasa membuat penilaian serta mengenal pasti langkah mahupun pendekatan untuk memastikan industri tersebut mampu mendatangkan hasil kepada kerajaan.

“Kalau kementerian terus ‘mak ngot’, berjalan perlahan macam kura-kura sedangkan orang lain dah berlari, maka mereka akan ketinggalan dan itu sesuatu yang tak dapat dielak. Jangan sampai REE habis diekstrak, baru nak keluarkan SOP dan kalau itu berlaku, rugilah semua orang. 

“Janganlah kerana kita ada kuasa di kementerian, maka kita nak menahan orang lain daripada menjalankan kegiatan ini hingga mengakibatkan kerugian akibat berlakunya perlombongan tidak bersandarkan undang-undang dan pengambilan secara tidak sah,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas kecurian REE di Kedah seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia pada 3 Oktober tahun lalu, Muhammad Sanusi memaklumkan, kesemua mineral dirampas itu akan dijual kepada pihak yang berminat melalui tender terbuka untuk proses pelupusan yang diuruskan PTG Kedah.

Katanya, mereka yang berminat untuk membeli REE tersebut boleh membuat lawatan untuk melihat sendiri barangan tersebut bermula hari ini sebelum mengisi dokumen serta membuat bayaran ditetapkan.

“Berapa puluh tan REE itu saya tak tahu tetapi ramai yang berminat. Di media sosial pun ramai juga yang kononnya arif dalam perkara itu kata bahawa nilai REE dirampas itu berbilion, Sanusi sudah dapat RM1 bilion dan kerja-kerja mengeluarkan REE itu Sanusi yang buat.

“Saya tak tahu apa-apa pun tetapi ada pihak membuat siri jelajah mendakwa yang kini kononnya (kita) telah menyembunyikan begitu banyak REE dan mereka letak kononnya harga REE ini satu gram mampu cecah hingga RM7,000 atau RM8,000.

“Kalau ikut penilaian mereka, boleh untung RM4 bilion dan disebabkan itu, saya cadang mereka masuk proses bidaan kerana rizab untuk berpuluh tan REE itu saya difahamkan bernilai kira-kira RM2.6 juta. Maka disebabkan mereka pandai sangat ceramah, eloklah mereka beli untuk jual semula dan tengok dapat banyak mana,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya