Sindiket edar ganja tumpas, bekas Koperal antara ditahan polis - Utusan Malaysia

Sindiket edar ganja tumpas, bekas Koperal antara ditahan polis

MOHD. SHUHAILY Mohd. Zain menunjukkan antara dadah yang dirampas daripada satu sindiket yang berjaya ditumpaskan polis dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, George Town, hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis ganja selepas menahan tiga suspek termasuk bekas anggota polis dan isterinya dalam tiga serbuan bebeza di Penaga, Seberang Perai Utara (SPU), dekat sini Jumaat lalu.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebanyak 453 ketulan mampat ganja seberat 451 kilogram (kg) bernilai RM1.13 juta.

Selain itu, dalang utama sindiket itu yang merupakan seorang ahli perniagaan berusia 42 tahun turut ditahan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, dalam serbuan bermula pukul 7.30 malam itu, polis menahan suspek pertama yang sedang berada di atas motosikal di Jalan Bendahara, Penaga.

“Menerusi penahanan suspek pertama ini, polis berjaya merampas 10 ketulan mampat disyaki ganja seberat 10.2 kg bernilai RM25,000.

“Suspek yang merupakan bekas anggota polis berpangkat Koperal berusia 33 tahun itu dibuang kerja pada 2018 kerana kesalahan berkaitan dadah dan telah bertugas selama 11 tahun yang mana penugasan terakhir ialah di Marang, Terengganu,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurutnya, susulan penahanan suspek pertama, polis kemudian menyerbu sebuah rumah di kawasan sama dan menahan isteri suspek yang merupakan seorang pekerja kilang berusia 33 tahun.

”Di rumah ini, polis merampas sebanyak 443 ketulan mampat disyaki ganja seberat 441 kg bernilai RM1.105 juta,” katanya.

Tambahnya, polis kemudian membuat serbuan di kawasan sama kira-kira pukul 8.30 malam dan berjaya menahan dalang utama sindiket itu di sebuah rumah di kawasan yang berhampiran rumah suspek pertama serta kedua.

“Hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah sindiket ini aktif sejak awal tahun lalu untuk pasaran tempatan dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 906,740 penagih.

“Bekalan dadah ini dipercayai diperoleh dari negara jiran dan diseludup menggunakan jalan laut,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, hasil ujian air kencing ke atas seorang suspek mendapati positif dadah manakala dua tangkapan lagi negatif dadah.

”Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 20 Januari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Dalam serbuan ini, polis turut menyita tiga buah kereta, dua buah motosikal dan wang tunai berjumlah RM37,000,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya