KUALA LUMPUR: Serangan parti lawan khususnya Perikatan Nasional (PN) terhadap UMNO dengan mengggunakan ruang maya sebagai lubuk untuk menanam sentimen jahat terhadap parti telah berjaya mempengaruhi minda rakyat khususnya orang Melayu.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan memberitahu, semuanya disampaikan dalam pelbagai bentuk grafik, video dan banyak lagi naratif lain melalui platform Tik Tok, Instagram, Facebook, WhatsApp dan Twitter.
“Bahawa UMNO itu rasuah, UMNO itu kotor, gila kuasa, dan segala kata nista, yang menjengkelkan. Tidak cukup dengan itu, mereka melabel pemimpin kita kleptokrat, tidak bermoral dan segala macam lagi tohmahan lain yang mampu mencemar kepimpinan kita.
“Di ambang pilihan raya, strategi ‘cognitive war’ ini telah mereka giatkan, berlipat kali ganda. Kita juga diserang hebat oleh ‘cybertroopers’ dari pelbagai arah. Motif mereka adalah untuk mempengaruhi pemikiran dan mengubah keyakinan masyarakat terutamanya orang Melayu bahawa UMNO tidak layak menjadi wakil mereka.
“Sehari demi sehari ia menjadi kepercayaan dan keyakinan rakyat bahawa UMNO itu sinonim dengan segala kecurangan dalam politik,” katanya katanya dalam ucapan Perasmian Perhimpunan Agung Pergerakan Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Menurut Mohamad, perkara itu dilakukan PN dengan berkesan dengan mempengaruhi golongan muda dan pengguna media sosial seperti Tik Tok dan Instagram dengan melancarkan perang besar-besaran dengan ‘content’ yang toksik untuk mengajak orang Melayu membenci serta meninggalkan UMNO.
Beliau menjelaskan, ternyata, strategi ‘perang kognitif’ itu apabila Tsunami Melayu melanda utara dan pantai timur Semenanjung, dengan pengundi Melayu berduyun-duyun menolak UMNO.
“Kita tewas tanpa memenangi satu kerusi Parlimen pun di Kelantan, Terengganu dan Perlis. Kita turut gagal mempertahan semua kerusi parlimen di Kedah, termasuklah yang disifatkan sebagai kerusi selamat, seperti Padang Terap. Di Perak, kita tewas dengan dahsyat, dan demikianlah impak ‘perang kognitif’ terhadap kita.
“Yang paling menyedihkan ialah kita jauh ketinggalan dalam memanfaatkan trend ‘politik digital’ ini. Di saat pihak lawan giat berkempen dan ‘membaham’ kita di media sosial, kita gagal mempertahan untuk menolak segala tuduhan fitnah dan kenyataan palsu yang dilemparkan. Kita juga gagal membentuk karisma dan pengaruh yang kuat, di ruang maya,” katanya. – UTUSAN