Selangor teliti wajib pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal - Utusan Malaysia

Selangor teliti wajib pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal

Pelitup muka
AMIRUDIN Shari merasmikan Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (ANIS) dekat Seksyen 7 di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan meneliti untuk mewajibkan semula pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal di negeri ini susulan kebimbangan terhadap kemunculan gelombang baharu Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu bagaimanapun bergantung kepada peningkatan statistik dan jumlah kes Covid-19 yang direkodkan Kementerian Kesihatan (KKM), namun kerajaan negeri menjalankan pemantauan secara bulanan dan mingguan terutama berkaitan tahap kemerebakan pandemik itu.

“Jika berlaku lonjakan besar kes Covid-19, kita semestinya akan mengambil tindakan lanjut termasuk pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial.

“Itu pentingnya penggunaan aplikasi MySejahtera dan SeLangkah dalam mengenalpasti individu yang dijangkiti pandemik berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Prasekolah Anak Istimewa Selangor (Anis) di Seksyen 7, hari ini.

Jelas Amirudin, orang ramai diseru supaya segera mengambil suntikan dos penggalak dan pihaknya sedang mempergiatkan lagi langkah tersebut.

“Kita mendapati jumlah penerima suntikan itu masih rendah di Selangor berbanding penerima suntikan dos pertama dan kedua. 

“Masyarakat perlu menerima hakikat bahawa mereka wajib dilindungi sepenuhnya kerana Covid-19 akan berlarutan dalam jangka masa panjang terutama kemunculan varian baharu,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penjaja dan pengusaha restoran di Selangor dibenarkan memakai sebarang jenis pelitup muka di premis mereka.

“Saya memahami mungkin ada kekeliruan mengenai penetapan baharu yang dikeluarkan bermula awal bulan ini. Namun, apa yang penting mereka perlu memakai pelitup muka ketika memasak dan menyediakan makanan bagi mengelak sebarang penyebaran kuman atau penyakit,” jelasnya.

Mengulas berkaitan Pusat Prasekolah AnIs, kata Amirudin, pihaknya bercadang untuk menubuhkan pusat itu di setiap kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

“Pusat di Shah Alam yang menjadi projek perintis itu bertujuan memberi peluang kepada ibu bapa kurang berkemampuan untuk menghantar anak mereka.

“Kita memahami kos untuk pusat jagaan atau pusat pendidikan khas agak tinggi dan inisiatif ini sekaligus meringankan lagi beban mereka tanpa dikenakan sebarang bayaran,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya