SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan mengimport telur ayam dari Thailand bagi mengimbangi permintaan penduduk di negeri ini dan menyelesaikan isu kekurangan bekalan bahan makanan itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri mengambil inisiatif sendiri sementara menunggu usaha yang dilakukan Kerajaan Pusat bagi menyelesaikan rungutan penduduk terhadap masalah harga mahal dan kesukaran mendapatkan bekalan.
“Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) diberi tanggungjawab untuk mengimport telur ayam dari Thailand. Daripada segi jumlah dan bila telur ini akan masuk di pasaran negeri, itu saya tak pasti. Itu awak kena tanya PKPS,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat Tahun Baru 2023, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kurangnya bekalan telur ayam gred A, B dan C di pasaran negeri itu, sehingga mengakibatkan keresahan daripada orang awam.
Malah, bekalan tersebut hanya boleh didapati di beberapa pasar raya besar dalam tempoh terhad.
Dalam pada itu, Amirudin memaklumkan selain mengimport telur, orang ramai boleh membeli telur gred biasa dalam program Jualan Ehsan Rakyat (JER) 2.0 yang dijangka bermula 15 Januari ini.
“JER diteruskan bagi memastikan rakyat Selangor dapat membeli bahan makanan yang sering dibeli mereka setiap hari dijual dengan harga murah. Kita juga jemput Koperasi Hijrah Selangor (KoHijrah) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ke JER 2.0 untuk menjual produk mereka.
“Kerajaan negeri sentiasa prihatin dengan kesusahan rakyat Selangor yang terkesan dengan peningkatan kos bahan makanan dan kita akan berusaha sebaik mungkin,” ujarnya. – UTUSAN