Segerakan peraturan vape untuk elak jualan kepada bawah umur

Segerakan peraturan vape untuk elak jualan kepada bawah umur 18 tahun – MRECA

vape
Negara berisiko kehilangan pendapatan RM3.48 bilion cukai runcit industri vape jika Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok turut menyenaraikan vape bahaya seperti rokok. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Persatuan Rokok Elektronik Runcit Malaysia (MRECA) meminta kerajaan menyegerakan peraturan kawal selia penjualan vape bagi memastikan produk itu tidak dijual kepada mereka yang di bawah umur 18 tahun.

Presidennya,  Datuk Adzwan Ab Manas berkata, ini ekoran tular di media sosial baru-baru ini produk vape yang berbentuk kartun dijual di pasaran.

Katanya, produk ini dibimbangi pelbagai pihak termasuk industri kerana ia boleh menarik minat golongan bawah umur.

Menurut beliau, tindakan menjual peranti yang mampu menarik minat golongan bawah umur adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan membuktikan peraturan diperlukan segera untuk kawal produk supaya tiada jualan produk dengan rekabentuk yang menarik minat golongan bawah umur.

“Peranti vape adalah untuk kegunaan orang dewasa dan terutamanya untuk penggunaan perokok tegar dalam usaha berhenti merokok. Oleh itu, peranti itu tidak patut kelihatan menarik minat golongan bawah umur dengan menggunakan karakter kartun.”

“Sebagai peniaga dan usahawan, kita harus menjalankan peniagaan dengan penuh tanggungjawab supaya produk tidak menarik minat golongan bawah umur dan memastikan ia hanya terjual kepada pengguna dewasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Kata Adzwan, pihak industri telah memberikan kata putus kepada pembekal supaya menghentikan penjualan produk tersebut dan produk-produk itu perlu ditarik balik dari pasaran.

“Peniaga dan pembekal harus membuat tapisan produk sebelum menjualnya di pasaran dan memastikan ia bukanlah satu produk yang boleh menarik minat golongan bawah umur. Jika ada yang berdegil serta masih menjual produk sedemikian, tindakan harus diambil supaya produk ini tidak kekal dalam pasaran tempatan.”

“Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu memperkenalkan peraturan dengan segera untuk mengawal selia industri vape. Dengan adanya peraturan, satu garis panduan akan diberikan kepada industri mengenai apa-apa aktiviti yang terlarang,” katanya.

Bagi MRECA katanya, amat berharap peraturan mengawal industri vape adalah diperlukan secepat mungkin untuk  memastikan ada kawalan ke atas produk supaya tiada jualan produk dengan rekabentuk yang  menarik minat golongan bawah umur.

 “Selain daripada dapat memastikan pengguna membeli produk yang mematuhi standard kualiti dan juga keselamatan yang ditetapkan, ia juga dapat mengelakkan kejadian seperti penjualan produk yang mempunyai rekabentuk yang mampu menarik minat golongan bawah umur,” katanya.

Pada akhir tahun 2021, kerajaan telah mengumumkan pencukaian ke atas cecair vape bernikotin akan dilaksanakan sebagai langkah kawal selia dan peraturan juga akan diperkenalkan mengawal industri vape. Bagaimanapun, pelaksanaannya telah ditangguhkan sehingga hari ini.

“Industri berharap Kerajaan boleh mengeluarkan peraturan dengan secepat mungkin supaya industri mempunyai hala tuju dan memastikan produk dan aktiviti dalam industri dapat dikawal,” kata Adzwan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya