KUALA LUMPUR: Perkongsian yang dibuat pelakon, Mimi Lana, 28, menerusi satu hantaran di Instagram, hari ini bagaikan memberi bayangan detik bersejarah dengan buah hatinya, Syafiq Kyle, 31, semakin hampir.
Menerusi gambar yang dikongsikan, ia memaparkan aktor tersebut sedang bersedia untuk menyarungkan cincin di jari manis aktres itu, sekali gus menjelaskan hari bahagia pasangan tersebut semakin dekat.
“One step closer, insya-Allah. Alhamdulillah,” katanya.
Perkongsian itu dihujani pelbagai komen positif daripada pengikut dan peminat yang tidak sabar menanti hari penyatuan pasangan sama cantik sama padan ini.
Turut mendoakan mereka adalah rakan-rakan selebriti, termasuk Elfira Loy, Zahirah Mcwilson,Nur Fazura, Scha Alyahya, Azira Syafinaz, Sherry Alhadad, Adam Lee dan Uyaina Arshad.
Sebelum ini, Syafiq membuat pengakuan telah bersedia untuk menikahi kekasihnya itu pada tahun ini.
Syafiq bagaimanapun, memaklumkan mereka memilih untuk mengadakan upacara pernikahan tanpa majlis pertunangan.
Mimi dan Syafiq menjalin hubungan cinta sejak tujuh tahun lalu, namun hanya mula terbuka bercerita mengenai perkara itu pada 2019.